01 September 2012

Iran gesa NAM ambil peranan di Syria

13 Syawal 1433H. [MOD] -

[NAM tidak dapat mencapai persetujuan mengenai krisis yang berterusan di Syria -AFP]

TEHRAN: Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata bahawa negara-negara membangun mempunyai hak yang lebih besar daripada Barat atau PBB untuk membantu menyelesaikan perang sivil yang makin mengganas di Syria.

Komen tersebut dibuat Jumaat lalu di akhir sidang kemuncak NAM di Tehran, persidangan yang melibatkan 120 negara yang tidak cenderung kepada mana-mana kuasa besar dunia semasa Perang Dingin.

Iran berharap untuk menggunakan sidang kemuncak NAM untuk menolak campur tangan asing dalam krisis Syria dan juga untuk menentang usaha Barat menggagalkan program nuklear Iran.

"Pergerakan Negara-negara Berkecuali pasti mempunyai hak politik yang lebih dari AS, NATO atau beberapa negara Eropah untuk campur tangan dalam isu Syria," kata Khamenei.

Beliau tidak mengulas lanjut mengenai peranan yang sepatutnya dimainkan pergerakan tersebut.

Jumaat lalu, Ban Ki-moon, Setiausaha Agung PBB, memberitahu Perdana Menteri Syria, Wael al-Halaqi bahawa peperangan mesti dihentikan di Syria "dengan tanggungjawab utama adalah dari pihak kerajaan untuk berhenti menggunaan senjata berat".

Dalam satu mesyuarat di luar sidang kemuncak NAM dengan Halaqi dan Walid Muallem, Menteri Luar Syria, Ban berkata beliau membentangkan "permintaan supaya semua pihak menghentikan segala bentuk keganasan".

"Apa yang penting pada masa ini ialah semua pihak mesti menghentikan keganasan. Semua pihak yang terlibat menyediakan senjata kepada kedua-dua pihak ... mesti berhenti," ujar Ban ketika sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen Iran.

Tiada perjanjian

Wartawan Al Jazeera, Imran Khan, melaporkan dari Tehran, berkata Menteri-Menteri Luar NAM sebelum ini telah bersetuju dengan draf kenyataan untuk menamatkan krisis di Syria, draf yang mengandungi penentangan campur tangan asing dan mengalu-alukan utusan PBB-Liga Arab, Lakhdar Brahimi.

Bagaimanapun, Khan berkata draf kenyataan itu tidak menjadi kenyataan rasmi dan tidak disebut langsung selepas mesyuarat tertutup ketua-ketua negara yang berlangsung selepas mesyuarat Menteri-Menteri Luar NAM Jumaat lalu.

Khan menegaskan bahawa 'persidangan ini tidak sepatutnya berlegar di sekitar isu Syria ... ia adalah berkenaan resolusi untuk negara-negara membangun ".

"Walau bagaimanapun, Syria telah menjadi isu dominan sepanjang persidangan ini dengan komen dari Presiden Mesir Mohamed Morsi dan komen Ban Ki-moon," katanya.

Khamis lalu, Morsi berkata ia merupakan "kewajipan etika" untuk menyokong rakyat Syria menentang "rejim yang menindas" di Damsyik.

Komen beliau itu mencetuskan protes dari delegasi Syria, apabila mereka melangkah keluar dari dewan persidangan.

Pertempuran terus berlarutan

Pertempuran sengit terus berlarutan di utara Syria Jumaat lalu dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (International Committee of the Red Cross) memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di sana makin merosot dengan cepat.

Pertempuran berlaku di bandar Aleppo, yang terletak 50km dari sempadan Turki. Kumpulan penentang pula menyerang pangkalan udara Abu Zohur di wilayah Idlib di mana mereka mendakwa mereka menembak jatuh sebuah kapal terbang perang MiG Khamis lalu, lapor sebuah kumpulan hak asasi.

Pertempuran itu antara pertempuran yang paling sengit, melibatkan kumpulan penentang dan askar tentera di Albu Kamal, sebuah bandar di wilayah timur Deir Ezzor, kata Rami Abdel Rahman, pengarah Badan Pemerhati Hak Asasi Syria.

"Kumpulan penentang telah merampas beberapa pos kawalan tentera, termasuk satu pangkalan di lapangan terbang tentera Hamdan," Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP.

Konflik di Syria telah mengorbankan lebih daripada 26,000 nyawa sejak ia bermula Mac tahun lalu, menurut Badan Pemerhai Hak Asasi Manusia Syria, sebuah kumpulan aktivis yang berpusat di UK.

Iran, sekutu utama Presiden Syria Bashar al-Assad, menuduh Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar dan Turki membekal senjata kepada Syria.

Kumpulan penentang Syria dan pegawai-pegawai AS pula mendakwa bahawa Iran memberi bantuan ketenteraan kepada Assad.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: