04 Oktober 2012

Elaun masih ditakuk lama

18 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
 KUALA PILAH – Persatuan Ketua Kampung daerah Kuala Pilah meminta pihak kerajaan mempertimbangkan semula kenaikan elaun setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang masih ditakuk lama.

Pengerusinya, Zainudin Adam berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan tuntutan setiausaha JKKK supaya elaun bulanan RM200 yang dinikmati sekarang dinaikkan.

Menurutnya, selepas pembentangan Bajet 2013, pelbagai pihak menerima bonus seperti kakitangan kerajaan, kenaikan elaun pesara tentera dan pesara tidak berpencen menerima habuan sebanyak RM1,000 secara 'one-off'.

“Sungguhpun begitu, elaun setiausaha JKKK tidak pernah dinaikkan kepada tahap memberangsangkan sedangkan pengerusi JKKK dinaikkan kepada RM800 sebulan pada tahun lepas.

"Bukan itu sahaja, elaun bulanan tok batin, pengerusi JKKK Orang Asli dan pengerusi Kampung Baru juga dinaikkan daripada RM800 hingga RM850 sebulan berbanding RM450 sebelum itu," katanya.

Zainudin berkata, selaku pengerusi persatuan menjadi tanggungjawabnya memperjuangkan hak ahli termasuk setiausaha.

“Peranan setiausaha lebih banyak berbanding pengerusi kerana setiausaha perlu menyiapkan laporan mesyuarat, membuat kertas kerja dan bebanan kerja yang lebih.

“Setiausaha juga merupakan teras dan teraju persatuan serta  sebagai nadi bagi menggerakkan sesebuah persatuan. Umumnya mereka seorang yang berdedikasi, bertanggungjawab dan berupaya memikul tugas yang berat dan mencabar,” katanya.

Katanya, adalah wajar sekiranya elaun setiausaha dinaikkan seperti jawatan lain.

Selain itu, beliau menyangkal dakwaan pakatan pembangkang yang menyatakan Bajet 2013 menciplak buku jingga.

“Pihak pembangkang hanya boleh berkata demikian, namun tidak mampu melaksanakan. Sejarah sudah membuktikan bahawa sejak 1959, kerajaan Barisan Nasional jauh lebih baik daripada pakatan pembangkang.

“Tidak usahlah mana-mana pihak gundah gulana dengan sikap pembangkang dalam mengulas Bajet 2013 kerana apa yang pasti majoriti rakyat gembira dengan bajet berkenaan,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: