13 Disember 2012

Bertam: Sultan Ahmad minta hormati keputusan kerajaan

29 Muharram 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Sultan Ahmad Shah tidak mahu kawasan minyak di Blok PM307 Bertam diperbesarkan kerana ia sudahpun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi milik Pahang.

Justeru, baginda bertitah supaya menghormati keputusan kerajaan berkaitan hak milik kawasan minyak itu.

“Tak apalah, semuanya sudah diputuskan oleh Perdana Menteri sendiri dan beta juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada Hari Keputeraan beta baru-baru ini.

“Apa pun, rakyat Pahang perlu bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan itu,” titahnya dipetik Sinar Harian berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengenai status kawasan minyak itu.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Perletakan Batu Asas Hospital Pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di UIAM Kampus Kuantan, di sini semalam.

Sementara itu, Bernama pada 10 Disember lalu melaporkan, Ahmad berkata kerajaan negeri telah menulis surat secara rasmi kepada Petronas untuk mendapatkan penjelasan mengenai penemuan minyak di blok berkenaan dan setakat ini jawapan rasmi masih belum diperoleh.

"Kita menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu," katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke 12 Penggal Kelima.

harakah/-

Tiada ulasan: