14 Disember 2012

S'gor sedia bincang Langat 2 dengan Pusat, tapi...

30 Muharram 1433H. [MOD] -


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau sedia berbincang berhubung Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dengan syarat kerajaan pusat membenarkan kerajaan negeri melakukan penstrukturan semula air di negeri itu.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap surat yang dihantar oleh kerajaan negeri berhubung perkara itu.

“Saya masih lagi menunggu maklum balas daripada surat itu dan jika kerajaan pusat bersetuju untuk kerajaan negeri membuat penstrukturan air itu, kita boleh adakan perbincangan (Langat 2) lanjut,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Selangor Agro Fest 2012 (SAF 2012) yang diadakan di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam, di sini.

Projek Langat 2 menjadi polemik apabila kerajaan negeri tidak memberi kebenaran untuk projek tersebut diteruskan.

Bagi kerajaan negeri, tindakan paling wajar bagi menyelesaikan isu air di Selangor pada ketika ini adalah membuat penstrukturan semula industri itu.

Bagaimanapun, kerajaan pusat memutuskan bahawa projek Langat 2, yang menjadi kontroversi sejak kebelakangan ini, akan diteruskan walaupun tidak disertai oleh Selangor dan tawaran akan dibuka dalam masa terdekat.

Sebelum ini, kerajaan negeri berulang kali menyatakan pendiriannya untuk tidak memberi kebenaran kepada pusat meneruskan Projek Langat 2 melainkan penstrukturan semula industri air di Selangor diselesaikan.

harakah/-

Tiada ulasan: