14 Disember 2012

Rezeki si penjinak ular

30 Muharram 1433H. [MOD] -


Rezeki si penjinak ular
Seorang anak murid Mohd Hamdan menunjukkan kebolehan ‘bermain ular’ dengan mencium haiwan berbisa itu.
Rezeki si penjinak ular
Mohd Hamdan (kanan) bersama empat pemain ular yang belajar daripadanya untuk buat persembahan ular dan menjinakkan reptilia berbisa itu.
 
Sebut sahaja ular, pasti ramai menyatakan rasa takut terhadap reptilia berbisa itu apatah lagi jika tahu serangan haiwan itu boleh membawa pelbagai komplikasi termasuk maut.

Kalau boleh, majoriti kita tidak mahu ‘berjumpa’ dengan haiwan berbisa itu dalam apa jua keadaan dan jika ada yang berani sekali pun, mungkin sekadar memegang spesies ular jinak seperti sawa.

Justeru, agak menakjubkan apabila Mohd Hamdan Mahadi, 33, dari Guchil 1, di sini, bukan sahaja mampu bermain dan menjinakkan ular berbisa malah menjadikan ‘persahabatan’nya bersama reptilia itu sebagai sumber rezeki.

Senaraikan sahaja kebanyakan jenis ular, dari sawa hingga pelbagai jenis tedung berbisa, semuanya pernah ditangkap Mohd Hamdan malah jumlah tangkapannya sehingga kini dikatakan mencecah puluhan ribu ekor.
Main ular sumber utama pendapatan

Bagi Mohd Hamdan, biar berbahaya dan upahnya tidak selumayan kerja lain, ia tidak menghalangnya menjadikan kerja menangkap dan membuat pertunjukan ular sebagai sumber pendapatan utama.
“Kalau rumah dimasuki ular dan tuan rumah panggil saya, saya akan tangkap dan tidak harapkan apa-apa bayaran. Jika ada orang mahu saya usahakan juga tangkap ular seperti dalam lubang, baru ada bayaran,” katanya.

Untuk pertunjukan ular pula katanya, dia mampu memperoleh kira-kira RM500 untuk sehari persembahan di Kuala Krai dan mencecah RM700 jika libatkan lokasi di luar daerah ini.

“Walaupun sudah banyak kali dipatuk dan disembur bisa, saya tidak serik untuk terus ‘bersahabat’ dengan ular, lagi pun ini satu-satunya bidang yang saya mahir dan minat,” katanya.

Digelar Raja Ular Kelantan ketika berusia 18 tahun
Mengimbas sejarahnya bermain ular, Mohd Hamdan mula berjinak dengan reptilia itu ketika berusia 14 tahun sebelum makin aktif dua tahun kemudian apabila mampu menjinakkan spesies ular berbisa.

“Masa umur 16 tahun, saya juga mula belajar dengan seorang kawan buat pertunjukan ular di merata-rata tempat seperti di ekspo, konsert dan program besar termasuk di luar Kelantan.

“Waktu itu, saya sudah mahir jinakkan ular, jadi kawan saya pula belajar cara nak tangkap ular kerana sebelumnya, dia hanya buat pertunjukan ular sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia mula dikenali sebagai Raja Ular Kelantan ketika berusia 18 tahun selepas menang tempat kedua pertandingan pertunjukan ular di Thailand.

Sedia khidmat tangkap ular, penawar bisa
Bagi khidmat sukarela, Mohd Hamdan kerap dipanggil membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) apabila melibatkan operasi menyelamat berkaitan ular.

Lebih membanggakan, dia tidak pernah kedekut ilmu kerana dari masa ke semasa menerima pelajar baru dari seluruh negeri ini yang ingin belajar cara bermain ular.

“Setakat ini, seramai 48 orang datang belajar untuk jadi ‘pemain ular’ dengan saya tetapi bukan semuanya berjaya sebab sedikit sebanyak bakat juga perlu ada,” katanya.

Menurut Mohd Hamdan, mereka ingin belajar bermain ular, perlukan bantuan untuk jinakkan ular atau penawar bisa ular boleh menghubunginya di 012-9619443.

sinar/-

Tiada ulasan: