28 Januari 2013

232 maut kebakaran kelab malam di Brazil

SANTA MARIA: Sekurang-kurangnya 232 orang maut apabila sebuah kelab malam yang dipenuhi pelajar universiti terbakar di bandar Santa Maria, selatan Brazil awal pagi tadi.

Mereka yang terselamat berkata, mereka lari menyelamatkan diri ketika api marak dalam kelab yang sesak di bandar universiti itu menyebabkan sejumlah besar daripada mereka dipijak dan sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

Sementara itu, kira-kira 131 orang mengalami kecederaan dan angka kematian akibat kebakaran berkenaan meningkat ketika anggota bomba mengeluarkan mayat daripada sisa kebakaran kelab "Kiss" dipercayai sesak dengan beratus-ratus pengunjung.


Kejadian itu dipercayai paling buruk dalam lebih sedekad sejak kebakaran di pusat membeli-belah dan disko di tengah bandar Luoyang, China yang menyebabkan lebih 300 orang terkorban pada 2000.

Seorang mangsa yang terselamat, Michelle Pereira berkata, kebakaran bermula apabila seorang ahli kugiran melambung mercun di udara menyebabkan kebakaran di bahagian siling dan api terus marak di seluruh kelab malam terbabit. - A

Tiada ulasan: