10 Januari 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 – Himpunan Sejuta Rakyat

27 Safar 1433H. [MOD] -
1. Dengan ketibaan tahun baru 2013 maka kita telah memasuki fasa pecutan akhir di dalam persiapan PRU13 untuk mempertahan dan meluaskan kemenangan khususnya bagi menawan Putrajaya. Fasa akhir ini bermula dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu 12 Januari 2013 di Stadium Merdeka.

2. Dari soal Lynas, Felda, Royalti, tuntutan Bersih dan banyak lagi isu rasuah dan penyelewengan - himpunan gergasi ini akan menjadi tanda jelas penolakan rakyat terhadap kejelekan dan sikap semberono pemerintah UMNO-BN merompak hak Rakyat. Penolakan ini kita akan muktamadkan dalam PRU13 kelak.

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia telah pun mengeluarkan arahan am kepada seluruh saf pemuda untuk turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini.  Kita menjangkakan 30,000 pemuda PAS untuk bersama-sama warga Malaysia yang lain membanjiri Stadium Merdeka kelak. Suara Sejuta Umat akan bergema merayakan perubahan, Insya Allah!

4. Sehingga setakat ini kami dimaklumkan rakyat Malaysia di London, Taiwan dan Sydney telah pun bersedia untuk mengadakan himpunan yang sama bagi meraikan himpunan rakyat di Kuala Lumpur kelak.

5. Oleh itu, kita juga telah meminta pendokong PAS luar negara di lokasi-lokasi utama lain untuk mengadakan himpunan yang sama sebagai tanda sokongan.

6. Pada masa yang sama, DPPM turut menjemput wakil-wakil kepimpinan pemuda di dalam Pakatan Rakyat untuk mengadakan mesyuarat koordinasi peringakat pemuda dalam masa yang terdekat ini. Ianya bertujuan untuk memperhebat promosi dan menjayakan himpunan ini sebagai himpunan terbesar dan paling aman di dalam sejarah Malaysia.

7. Jabatan Amal Malaysia juga telah siap siaga untuk memainkan peranan penting mengawalselia perhimpunan itu kelak. Pada masa yang sama, kita berharap pihak keselamatan khususnya PDRM dapat menghalang mana-mana anasir jahat yang cuba untuk membuat provokasi bagi mengganggu kesusilaan himpunan.

8. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini. Ayuh kita jadikan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 suatu pengalaman yang menakjubkan lalu mencatat lakaran penting dalam lipatan sejarah negara untuk menuntut perubahan. Mari bersama kita mencorak masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia.
Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Mencorak Masa Depan

Salam dari :
Aku Pejuang Islam ~API~

Tiada ulasan: