08 Januari 2013

‘Toyol’ pecah kedai dipenjara

25 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Perbuatan dua sahabat yang layak digelar ‘toyol’ melakukan pecah kedai dan mencuri pelbagai barangan runcit bernilai keseluruhan RM500 menerima pembalasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam. Hukuman itu diputuskan selepas kedua-dua mereka, Muhamad Aminurdin Mamat, 32, dari Kampung Kuala Bekah, di sini, dan Muhammad Hishamudin Baharun, 29, dari Kampung Pulau Musang, di sini, mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah bangunan. Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh itu mengaku bersalah melakukan pecah kedai runcit milik Suhaimi Abdul Ghani, 67, terletak di Jalan Kamarudin, di sini, pada 27 Disember lalu lebih kurang antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi. Mereka turut mengaku bersalah telah mencuri enam botol minyak wangi jenama Al-Habib; 13 batang pemetik api jenama Aladin; tujuh kotak pemetik api jenama Yeppi; tiga bungkusan tembakau rokok gulung jenama Cherry Choice; dua bungkusan tembakau rokok gulung jenis perisa Blueberry dan wang syiling berjumlah RM13.70 yang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM500. Justeru itu, mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam. Susulan pengakuan bersalah kedua-duanya, Noradila menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap Muhamad Aminurdin manakala tiga bulan penjara bagi Muhammad Hishamudin. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 5.05 pagi, mangsa telah pergi ke kedai miliknya bagi membuat persiapan awal sebelum memulakan operasi perniagaan seperti biasa. Bagaimanapun, setibanya di kedai, mangsa ternampak kelibat dua lelaki tidak dikenali sedang terjun dari bumbung kedainya sebelum bertindak menangkap seorang daripada mereka, Muhamad Aminurdin manakala seorang lagi iaitu Muhammad Hishamudin, berjaya melarikan diri. Mangsa membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu dan susulan laporan dibuat, pada 28 Disember lalu lebih kurang jam 3.15 pagi, Muhamad Hishamudin yang berjaya melarikan diri itu ditangkap ketika berada di perkarangan Masjid Jamek Pengadang Baru, Chabang Tiga, di sini. Sinar Harian

Tiada ulasan: