08 Januari 2013

OKU, pembantu dibunuh kejam

25 Safar 1433H. [MOD] - MANJUNG - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bersama pembantunya ditemui mati dibunuh kejam di sebuah rumah di New Vilage, Kampung Koh, petang semalam. Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berkenaan kejadian itu pada jam 4.30 petang. Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku awal pagi semalam sebelum disedari rakan mangsa yang ke kediaman tersebut untuk melawat mangsa. “Mangsa OKU dikenali sebagai Nga Mee Jai @ Nga Mee Kok, 68, manakala pembantunya dikenali sebagai D Hemalata, 23, yang datang setiap hari untuk menjaganya dan membersihkan rumah sebelum pulang pada waktu malam. “Semasa dijumpai, keadaan rumah mangsa berselerak dipercayai dilakukan oleh suspek terlibat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, mangsa OKU mengalami kecederaan di leher manakala pembantunya mengalami kecederaan di kepala. “Kita masih lagi menyiasat motif pembunuhan ini dan suspek terlibat sedang diburu,” katanya yang menjelaskan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jaafar berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Manjung untuk bedah siasat. Sinar Harian

Tiada ulasan: