02 Februari 2013

[Fikrah Islamiah] Ciri-ciri ulama suk mudah dilihat

21 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] - 
Ahmad Baei Jaafar


Ulama suk atau yang diistilahkan sebagai fasik boleh kita lihat secara jelas pada akhir zaman ini. Ulama fasik yang disebut dalam hadis adalah pakej yang Allah datangkan pada akhir zaman bersama dengan ahli ibadah yang jahil. Hal ini kerana ulama pada akhir zaman tidak begitu berperanan dalam mendidik umat Islam ke arah ibadah yang betul.
Hadis yang dimaksudkan ialah:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ عُبَّادٌ جُهَّالٌ ، وَعُلَمَاءُ فُسَّاقٌ " . ابن حبان

Maksudnya, daripada Anas r.a dia berkata, Sabda Rasulullah: “Akan berlaku pada akhir zaman ahli ibadah yang jahil dan ahli ilmu yang fasik.” (Riwayat ibnu Hibban)

Wujudnya ahli ibadah yang jahil mungkin tidak memeranjatkan kita kerana mereka menjadi jahil kerana tidak diajarkan ilmu yang betul oleh ulama atau mereka tidak mahu belajar ilmu yang betul daripada ulama. Tetapi bagaimana dengan ulama fasik, bagaimana pula boleh wujud ulama fasik sedangkan ulama itu adalah dalam kalangan orang yang cerdik pandai Islam. Inilah yang perlu kita lihat secara tepat sekali gus mengenali ciri-ciri ulama fasik ini.

Sebelum mengenal pasti ciri-ciri ulama fasik itu, elok juga kita memahami maksud fasik. 

Sebenarnya fasik kalau kita sandarkan kepada seseorang bermakna dia itu mengekalkan dosa besar dan meremehkan dosa kecil. Jadi kalau ulama fasik bererti ulama itu mengekalkan dosa besar dan meremehkan dosa kecil. Bayangkan kalau ulama ini berada di dunia ini, sudah pasti akan menjadi masalah kepada masyarakat dan negara.

Apa tidaknya, ulama yang mengekalkan dosa besar mengajar umat Islam, tentu ilmu itu tidak berkat atau ilmunya tidak tepat atau terseleweng. Maka dengan sebab itu lahir ahli ibadah yang jahil. Jelas, wujudnya dua golongan ini menjadi cabaran kepada Islam akhir zaman, malah mereka inilah yang banyak mengganggu perkembangan Islam.

Rasionalnya begini, apabila pendakwah cuba mendekati para ahli ibadah yang jahil, cuba didik mereka ke arah membetulkan cara mereka melakukan ibadah, tiba-tiba datang ulama rosak ini dengan beberapa ulasan yang meremehkan ilmu yang disampaikan itu. Kesannya, mereka yang baru hendak disedarkan itu terus tawar hati dan kembali kepada asal.

Ciri-ciri Ulama Fasik

Secara umumnya ulama ini akan selalu menyanggah pandangan dengan apa yang dibawa oleh ulama amilin, apatah lagi suara mereka disokong oleh golongan ramai. Walaupun secara zahirnya, kita tidak dapat membezakan antara dua golongan ulama ini di sudut pakaian dan percakapan, namun kita dapat menilai mereka melalui tindakan dan kesan daripada tindakannya. Antara ciri-ciri ulama fasik ialah:
  1.  Takut untuk menyampaikan kebenaran
  2.  Menyembunyikan ajaran sebenar
  3. Perjuangan kerana dunia yang ditawarkan
  4. Cakap berbolak balik dalam sesuatu isu atau tidak berani berterus terang
  5. Hasad dengki dengan yang lain
  6. Bercakap agama atas kepentingan orang lain.

Untuk mudah kita kenali ulama ini suka saya membawakan satu contoh terdekat iaitu isu perkataan Allah. Baru-baru ini ramai ulama bercakap tentang perkataan Allah, namun tidak seorang pun sanggup menjelaskan dengan baik sesuai dengan kehendak Allah. Akhirnya orang ramai termasuk orang politik memahaminya secara tidak tepat.

Isu asalnya amat kecil iaitu memohon kebenaran menggunakan kalimat Allah bagi menggantikan perkataan God dalam bible berbahasa Melayu. Isu ini boleh selesai dengan mudah iaitu dengan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah tidak tepat bagi menggantikan God, sebaliknya adalah lebih tepat kalau mereka menggunakan kalimat Tuhan. 

Siapakah dalam kalangan ulama yang berani menjelaskan hal ini kepada orang Kristian?
Kalau mereka masih berdegil mahu menggunakan perkataan itu, kita boleh tanyakan kepada mereka untuk apa digantikan Allah dalam bible Melayu sahaja? Belumpun mereka memberi alasan, boleh kita jelaskan begini, kalau bible dalam bahasa Melayu menyebut Allah sudah tentu untuk tujuan menarik perhatian orang Melayu. Perbuatan ini adalah salah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, maka janganlah diteruskan demi perpaduan. Adakah mana-mana ulama kerajaan yang cuba menjelaskan begitu?

Jelas, tiada ulama yang berani menjelaskan begitu kepada mereka. Sebaliknya mereka mengulas bukan merujuk kepada isu sebenar. Lalu lahirlah pelbagai pandangan yang antaranya, “siapa yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah adalah kafir.” Pandangan ini sepatutnya bukan lahir daripada seorang ulama.

Ulama sepatutnya bukan sekadar ulas tetapi memberi ilmu kepada umat Islam termasuk pemimpin politik; “Allah adalah tuhan sekelian Alam, tuhan manusia tuhan binatang dan tuhan alam seluruhnya.” Kita wajib bertuhankan Allah tanpa syirik tanpa sekutu dengan yang lain. Inilah yang sepatutnya diulang-ulang ke telinga umat Islam. Perlu dijelaskan juga, selain orang Islam ada golongan lain yang dinamakan kafir dan ada lagi yang dinamakan musyrik, mereka ini menyengutukan Allah dengan tuhan-tuhan lain.

Sebenarnya Umat Islam juga boleh menjadi musyrik sama seperti orang yang bukan Islam jika mereka bertuhankan harta, bertuhankan pangkat dan jawatan di samping beriman dengan Allah. Bahkan orang Kristian juga termasuk dalam golongan musyrik kerana mereka turut bertuhankan Isa dan Mariam di samping percaya kepada Allah.

Selain itu kita tidak boleh nafikan agama hindu, budha dan lain-lain juga percaya kepada Allah tetapi Allah itu telah disyirikkan dengan patung dan berhala. Ilmu ini perlu dijelaskan kepada umat Islam dari sejak kecil lagi. Bahkan kalau mampu maklumkan juga kepada orang bukan Islam. Mereka juga hendakkan maklumat yang betul. Sama ada mereka hendak terima atau tidak terserah kepada mereka. Allah yang boleh memberi hidayah kepada mereka.

Kalau ilmu ini dapat dijelaskan kepada anak-anak kita, apa yang hendak dibimbangkan kalau ada risalah bible disebarkan ke sekolah-sekolah. Mereka tidak akan terpengaruh dengan sebaran itu kerana ilmu asas sudah tertanam dalam kepala mereka. Tetapi, kalau ilmu ini tidak disampaikan kepada mereka, itulah sebabnya mengapa mereka bising dan riuh rendah degnan isu sebaran risalah itu di sekolah baru-baru ini.

Saya hairan, mengapa sukar sangat ulama kita untuk menjelaskan hal ini kepada umum. Kita takutkan siapa? Kita akur dengan larangan menggunakan beberapa perkataan khusus untuk Islam seperti yang diwartakan. Tetapi kita tidak ada hak untuk menghalang orang lain menyembah Allah kerana Allah adalah tuhan sekelian alam.

Syirik tempatnya neraka

Soal mereka syirik kepada Allah tidak timbul sebab keadaan mereka telah dijelaskan dalam al-Quran. Mereka yang syirik tempatnya adalah neraka walaupun mereka beriman kepada Allah. Malah orang Islam sendiri kalau syirik kepada Allah, nerakalah tempatnya.

Tegasnya, ulama yang tidak berani menjelaskan semua ini dengan betul, maka hakikatnya mereka tergolongan dalam ulama fasik. Bagaimana dengan anda? Marilah kita bertaubat dan kembalikan peranan kita dalam menyampaikan ilmu kepada semua pihak. Percayalah kalau ulama kita bangun nescaya anak-anak kita boleh terima dan faham tentang Allah sekali gus tidak mensyirikkan Allah. Pada masa yang sama kita boleh jelaskan kepada mereka yang bukan Islam, agar mereka faham dan kemudiannya memeluk Islam. Inilah kerja ulama amilin.
Ingatlah ulama fasik atau suk selain tidak ada tempat di sini Allah di akhirat nanti, mereka di dunia ini akan dibenci oleh orang ramai. Hal ini dijelaskan oleh hadis berikut:

عَنْ أَبي بَكْرٍ ، يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا ، يُجْزَ بِهِ فِي الدُّنْيَا." أحمد بن حنبل

Maksudnya, daripada Abu Bakar dia berkata sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melakukan kerja jahat akan dibalas di dunia ini lagi.” (Riwayat Ahmad ibnu Hanbal)
Jadi, hentikan kerja jahat, lakukan kebaikan dan sebarkan Islam dengan penuh tanggungjawab. Kita tentu tidak sanggup dihukum Allah di dunia ini lagi. Kita tidak mahu dihina dan dicaci masyarakat kerana kita sangat perlukan masyarakat. Wallahu aklam.

1 ulasan:

Unknown berkata...

saya setuju dengan pendapat ustaz..saya sendiri pun tiada bantahan kalau kalimah allah digunakan oleh orang bukan islam..tiada larangan dalam al quran sekalipun..iatu nama allah dilarang digunakan..tida dalam al quran disebut..jadi tiada masalah...inilah apabila orang2 munafik alim berbicara dan konon2 nak mempertahankan allah dan islam..tetapi tidak menunaikan hak - hak allah...terima kasih ustaz di atas penerangan ustaz..alhamdulillah saya beroleh jawapan dari pandangan ustaz...terima kasih allah swt dan terima kasih ustaz..