09 Mac 2013

Liwat II: Mungkinkah Najib tangguh lagi PRU13?

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Rakyat mengucapkan syukur dan menarik nafas lega apabila mendapat khabar gembira bahawa Azlan Mohd Lazim, bapa Saiful Bukhari tampil memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dengan mendakwa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memfitnah Anwar dengan kes Liwat II.

“Lebih menarik lagi pendedahan beliau mengaitkan seorang pegawai Perdana Menteri sebagai perancang utama konsiprasi tersebut,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Katanya, perkembangan itu pastinya tambah memeningkan kepala Perdana Menteri dan hampir pastinya Pilihanraya Umum ke-13 akan tertangguh lagi buat kesekian kalinya.

Pendedahan Azlan Mohd Lazim adalah suatu kemenangan moral buat seluruh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, ujarnya lagi.

Menurutnya, dengan kemunculan Deepak Jaikishan serta pendedahan menggemparkan negara mengenai misteri pembunuhan Altantuya, serta kepulangan Balasubramaniam bagi meneruskan momentum skandal pembunuhan model Mongolia tersebut, pengakuan Azlan Mohd Lazim adalah pelengkap kepada kejayaan rakyat.

“Pengakuan Azlan membuktikan bahawa kejadian liwat II adalah suatu konspirasi jahat oleh pihak tertentu yang bertujuan mahu mengaibkan pemimpin dan gabungan PR umumnya,” katanya kepada Harakahdaily.

Baginya, politik fitnah melalui pelakuan lucah dan mengaibkan digunakan bagi menghalalkan segala tindakan mereka.

Kini, kata beliaukebenaran telah terserlah membuktikan bahawa segala yang berlaku adalah mainan politik kotor pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, ujarnya rakyat ternanti-nanti siapakah pegawai khas Perdana Menteri yang dikatakan merancang semua kejahatan itu.

“Perdana Menteri perlu tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan pegawainya terlibat dan bertanggungjawab terhadap kesemua tindakan pegawainya itu dan bagi membersihkan namanya, beliau mesti mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang terlibat,” katanya lagi.

Menurutnya, imej Najib kebelakangan ini semakin merudum dengan penglibatan pegawai-pegawai kanan beliau dalam pelbagai skandal.

Riduan berkata, dua orang pengawal peribadinya terlibat dalam pembunuhan model Altantuya manakala bekas penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda juga pernah dikaitkan dengan kes yang sama meskipun dibebaskan oleh mahkamah kemudiannya.

Kini, ujarnya seorang lagi pegawai kanan beliau didakwa terlibat merancang konspirasi Liwat II.

Bagi beliau, Perdana Menteri dilihat sebagai gagal menunjukkan contoh kepada rakyat dengan peribadi yang mulia.

“Malah, beliau dianggap gagal mendidik pegawai-pegawai kanannya untuk menunjukkan tauladan yang murni kepada masyarakat sehingga mereka terjerumus dengan pelbagai kesalahan jenayah,” ujarnya.

Justeru, kata beliau rakyat perlu bertanya kembali, apakah pemimpin seperti itu layak dinobatkan sebagai pemimpin utama negara dan layakkah mandat terus diberi kepada pemimpin seperti itu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: