13 Mac 2013

Pemimpin Umno kena rasional macam Musa Hitam

1 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang mengatakan negara tidak akan bangkrap jika diambil alih Pakatan Rakyat membuktikan manifesto Pakatan bersifat rasional dan realistik.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pengalaman Musa sebagai bekas orang nombor dua negara itu juga perlu dijadikan panduan kepada pemimpin BN dan ahli-ahlinya untuk tidak terus menakut-nakutkan rakyat.

"Apa yang dikatakan beliau itu merupakan satu pandangan yang rasional dan objekif. Yang juga bersifat negarawan, berbanding pemimpin BN lain yang sudah bersara seperti Tun Mahathir yang lebih emosional," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah Salahuddin, kenyataan Musa itu perlu diterima pemimpin BN dan ahli-ahlinya bahawa jika berlaku sebarang perubahan kerajaan sekalipun, ia akan berada dalam suasana yang biasa.

"Mereka perlu terima hakikat jika berlaku perubahan kerajaan sekalipun, tiada apa yang luar biasa berlaku.  Malah, kebiasaannya apabila bertukar kerajaan ia akan menjadi lebih baik dari kerajaan sebelumnya," tegas beliau.

Tun Musa, dalam kenyataannya berkata sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, gabungan tersebut akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara berkembang dengan baik.

Malah, beliau juga berkata tidak adil jika menganggap negara akan bankrap jika pembangkang berjaya memerintah negara.

harakah/-

Tiada ulasan: