18 Mei 2013

58 maut serangan bom di masjid Baqouba, Baghdad

8 Rejab 1434 H. [MOD] -


BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 58 maut dalam satu letupan bom di kawasan penduduk Sunni di Baghdad dan kawasan sekitarnya ketika jemaah keluar menunaikan solat Jumaat dari sebuah masjid di pinggir Baghdad, awal hari ini. 


Kejadian itu yang dianggap tragedi berdarah paling tinggi di Iraq dalam masa dua bulan. 



Serangan terbaru di Baghdad dan kawasan sekitarnya itu menyaksikan angka korban meningkat kepada lebih 100 orang dalam masa tiga hari. 



Serangan itu termasuk di kawasan penduduk Syiah membabitkan sebuah hentian bas, pasar harian dipercayai membabitkan puak fahaman berbeza Islam. 



Keadaan tegang berlaku sejak puak Sunni mula melancarkan tunjuk perasaan mengenai layanan yang diberikan kerajaan yang dikuasai golongan Syiah, termasuk penahanan rambang dan pengabaian. 



Serangan awal hari ini berlaku ketika jemaah Sunni mahu meninggalkan masjid utama di Baqouba, kawasan kubu kuat golongan itu yang terletak kira-kira 60 kilometer dari timur laut Baghdad. 



Satu lagi letupan berlaku selang beberapa minit ketika orang ramai berkumpul untuk membantu mereka yang cedera. 

Menurut polis, sekurang-kurangnya 41 maut manakala 56 lagi cedera. 



Mayat bergelimpangan di sekitar jalan berhampiran masjid berkenaan. - AP

Tiada ulasan: