5 Rejab 1434 H. [MOD] -
SETIU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal cedera akibat sengaja dilanggar seorang lelaki di Kampung Telaga Papan di sini semalam.
Anggota yang berusia sekitar 40-an itu terpaksa dirawat di hospital akibat cedera di muka, kepala dan kaki sementara suspek yang berusia 30 tahun berjaya ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang ketika anggota polis tersebut dari balai Setiu beserta rakannya yang berpangkat Lans Koperal sedang membuat rondaan dengan kereta peronda apabila mereka terserempak dengan sekumpulan penunggang motosikal di simpang Kampung Bukit Putera Chalok.
Beliau berkata curiga dengan kumpulan itu, kereta peronda tersebut menghampiri kumpulan berkenaan yang kemudiannya melarikan diri ke dalam hutan.
"Lalu kedua-dua anggota itu meneruskan rondaan mereka dan apabila tiba di Kampung Telaga Papan, mereka telah diekori dua lelaki bermotosikal. "Kedua-dua anggota itu keluar dari kereta mereka dan cuba menghampiri penunggang motosikal tersebut dan ketika itu suspek memecut motosikalnya dan melanggar kedua-dua anggota itu menyebabkan salah seorang daripada mereka rebah manakala rakannya tidak mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita.
Manoharan berkata salah seorang suspek turut terjatuh dari motosikal akibat rempuhan itu dan dapat diberkas manakala rakannya melarikan diri.
Beliau berkata pihaknya percaya kumpulan tersebut yang berasal dari Kampung Telaga Papan terlibat dalam kes jenayah di daerah ini.
"Kita masih mengesan saki baki kumpulan ini," katanya dan menambah suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
- Bernama
1 ulasan:
Polis mati tidak apa, jangan orang kampong yang dilanggar oleh polis, nanti menjadi berita utama surat khabar dimana sepasukan polis akan dilabel tidak berintegrasi.
Catat Ulasan