15 Mei 2013

Tolak rasuah jadi formula kejayaan

5 Rejab 1434 H. [MOD] -

FARUSH KHAN

Ada beberapa orang ahli politik yang saya tabik, terutama selepas debu-debu PRU13 mulai mendap. Antara mereka ialah ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan. Secara kebetulan mereka bertanding untuk kerusi Parlimen Temerloh, Pahang.

Menang atau kalah dalam pertandingan satu perkara, tetapi sikap, adab, pendekatan dan kewajaran fikiran adalah satu perkara lain. Pembaca budiman tentu masih ingat, sebaik sahaja keputusan PRU13 diketahui Ahad lalu, Nasrudin menjemput Saifuddin menyertai panel perunding “Temerloh Daerah Berkebajikan” untuk menyumbang idea ke arah pembangunan rakyat dan kemajuan daerah berkenaan.

Tempat dan tugas yang ditawarkan tidaklah sehebat mana pun, apabila kita mengambil kira ketokohan Saifuddin, termasuk jawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang pernah dipegangnya.

Beliau juga salah seorang pemimpin Umno yang diramalkan akan pergi jauh dalam perjuangan politik tanah air kerana sikapnya yang progresif dan kewajarannya apabila berhujah dan memberi idea.

Tetapi apa yang menjadi perkiraan di sini ialah sikap ahli-ahli politik dan pendekatan yang mereka ambil. Barangkali, setakat ini, itu yang mampu difikir dan dilakukan oleh Nasrudin bagi menimba pengalaman dan kebijaksanaan Saifuddin untuk kepentingan penduduk Temerloh, apatah lagi ia adalah bekas kawasan Parlimen di bawah penyeliaan Saifuddin.

Saya rasa Nasrudin juga mungkin hairan sedikit boleh mengalahkan tokoh Umno yang dihormati seperti Saifuddin. Tentu Nasrudin sendiri sudah tahu kemenangan beliau di Temerloh dengan undi majoriti 1,070 bukan kerana pengundi menolak Saifuddin secara total, atau kerana Nasrudin lebih kuat, tetapi, kerana Saifuddin bertanding sebagai wakil pihak yang ramai pengundi di situ tidak berapa suka ketika ini.

Saya kira Nasrudin sendiri bukan calang-calang orang kerana mampu menewaskan lawan seperti Saifuddin, yang menjadi jenama kepada Umno. Sebahagian daripada tarikannya tentulah sikap, perwatakan, ketokohan dan kemampuannya sebagai pemimpin muda.

Kalau kita masih ingat, kedua-dua Nasrudin dan Saifuddin antara segelintir tokoh politik tanah air yang awal-awal, secara sukarela, telah menyatakan kesediaan mereka untuk mengisytiharkan harta.

Malah, Nasrudin sudah pun mengisytiharkan hartanya ketika ucapan penggulungan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat November lalu. Untuk rekod, beliau memberitahu beliau mempunyai RM9,000 dalam akaun simpanan tetap, pendapatan isteri (RM4,000 sebulan) sebagai guru, elaun daripada Dewan Pemuda Pas (RM2,500) dan hasil daripada rumah sewa (RM300).

Saifuddin pula pernah berkata beliau bersedia mengisytiharkan hartanya kepada umum, bergantung kepada pendirian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.

Beliau menyatakan demikian ketika menjadi ahli politik pertama yang secara rasmi menandatangani ikrar integriti pilihan raya di lobi Parlimen pada Mac 2012, di hadapan Presiden Transparency-International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low.

Ikrar itu adalah usaha TI-M untuk meminta calon-calon pilihan raya menolak politik wang dan rasuah. Sebenarnya, apa yang jelas di ialah tidak susah untuk menjadi orang yang dihormati, dipercayai dan dipilih sebagai pemimpin atau wakil rakyat dalam dunia politik tanah air kita masa ini.

Tidak perlu retakkan otak dan membuang duit dengan adakan perhimpunan, pesta dan jamuan hebat-hebat bagi mencari formula dan mendapatkan sokongan, kepujian serta kemenangan.

Sudah pasti bukan juga melalui cara kurang etika - maki-hamun, bersikap samseng, ugut, serang, cabar, tipu, fitnah dan seumpamanya. Di samping kelayakan, ketokohan, ahli politik hanya perlu jauhkan diri daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, serta mengamalkan pimpinan melalui teladan; berprinsip, tidak sombong, tidak tamak dan patuh kepada ajaran agama.

Kepercayaan tidak mudah didapati kembali apabila ia hilang, seperti cerita dalam buku yang saya baca masa dalam darjah dua, mengenai sorang lelaki yang cuba perbodohkan orang kampung, dengan menjerit kononnya dia diserang harimau.

Kali pertama orang percaya, kali kedua masih percaya, tetapi apabila dia menjerit minta tolong kali ketiga, siapa pun tidak peduli kerana ingatkan dia menipu lagi. Rupa-rupanya itulah masanya dia betul-betul dibaham harimau.

Kan sudah ada pantun dua kerat: siakap, senohong, gelama, ikan duri; bercakap bohong.....!!!

Sinar/-

1 ulasan:

مهمد شفاريز berkata...

Plz support my new blog

Che'en punyer