19 Mei 2013

Drama air mata di wad ICU...

9 Rejab 1434 H. [MOD] -

http://sanusisetpol.blogspot.com/,18 Mei 2013

Saturday, May 18, 2013

Berkasih Sayang Kerana Allah...

Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah Islamiyyah.

Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30.  Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.

Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.
Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.

"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.

TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid,  Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan mulut dengan tangan.

TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat ini... "Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.

"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey. Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.

Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.
"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam esakan.

TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.

Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana  Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun, kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.

12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sedih baca kisah ini..Allahu robbi..
semoga ustaz azizan dan TGHH diberi kesihatan oleh Allah..semoga Allah merahmati setiap usia dan pengorbanan mereka ketika berjuang utk Islam..aameen..

Tanpa Nama berkata...

Bosan la dengan drama sedih tak habis-habis ini. Siapa mengetuai PAS Kedah sekarang ini ?

PAS negeri lain bersiap sedia membuat petition pilihanraya, PAS Kedah sebok dengan kisah peribadi Ustaz Azizan.

Unknown berkata...

Semuga Ust cepat sembuh Ya Allah kau perkenanlah doa kami !!

Tanpa Nama berkata...

Azizan telah gagal mentadbir Kedah. Gagal mengawal orang bawahannya.
Kalau uzur, serah lah kuasa pada timbalan. Tapi tamak nak kekal berkuasa.
PAS pusat pun takdak kuasa mengawal PAS Kedah.
Mandat rakyat untuk kerajaan Islam mentadbir Kedah telah dikhianati.
Cerita leleh ayaq mata macam ni tak payah habaq.
Meleleh ayaq mata rakyat dikhianati PAS Kedah sapa nak cerita.
Cuba habaq mai.

Unknown berkata...

Kalau lah islam dan tatacaranya dapat di laksanakan dlm tempoh 5 tahun dulu alangkah hebatnya kita semu org kedah.sekolah pondok dan tuan 2 guru yg banyak jasa pada pas di angkat sama darjat dengan pimpinan parti islam kedah alangkah bangganya kita, tuan mufti dan bebelas orang khadi 2 dan pegawai ugama negeri di beri tugas untuk rancang agam islam saya rasa bn tak boleh ambik kedah, tapi hampa azizan dan kuncu kuncunya langgak dan persisih org agama ni maka islam dan sunnah itu tidak dapat dilihat setelah kita kalah kpd BN .itu dosa2 kamu yg sombong dg allah dan pendokong pejuang islam yg masih hidup mahupun yg telah mati..azab allah sedang berjalan dan mencari pengkhianat2 pada perjuanganya,,,amin.

Tanpa Nama berkata...

berderai air mata membaca catatan ini..

musafirlalu berkata...

Satu catatan yang menyentak hati sanubari... syabas atas perkongsian ini.

Tanpa Nama berkata...

Saya sebagai ahli PAS di Kedah dah malas nak beri komen.

penjual ubat berkata...

Salam!
Posting ini dari harakahdaily ,aku sempat tengok juga komen2 pembaca ,semua tunjuk rasa sedih,Menarik orang simpati pada seseorang lebih mudah dari menarik orang simpati kepada PAS kedah itu sendiri.Orang tak tahu apa yang sebenar terjadi sepanjang 5 tahun azizan perintah Kedah. Saya lebih suka menyebut azizan perintah dari PAS perintah.
Kerana apa juga yang dibuat azizan langsung tak mencerminkan PAS.
Yang sering keluar dari mulut azizan hanyalah, HANG TAU APA? NAK AMEK DUIT MANA? HANG SEKOLAH MANA? ORANG PAS KAN TAU BUAT KERJA! LEBIH SEDIH APA YANG BERLAKU KPD STAFF KUIN YANG KEBANYAKAN AHLI PAS, inilah hamboran yang sering keluar dari mulut azizan kalau ada saranan dari ahli bahkan ajk perhubungan PAS sendiri.
Kenapa setpol dan pengampu2 yang dok keliling beliau sampai hari ni dok tulis cerita2 mengampu tak habeh2,KALAU ORANG KEDAH KATA HABEH DAH AZIZAN NI GHONYEH KEDAH, tak tau la berapa lama pula kita nak perbetulkan.
Dalam hati aku bila terbaca posting sanusi ni jujur aku kata ,maaf aku tak sedih,dalam bab lain aku boleh menitis air mata tapi dalam posting ni aku lebih teringat bagaimana suharto jatuh,mubarak jatuh,zainalabidin tunesia jatuh, semua masuk hospital.
Berpada lah dalam mengampu,kerana sejarah dah ada depan mata pengampu cuma dapat dua tiga sumpit wang emas tapi negara boleh kat orang!

Unknown berkata...

Sedih azizan,lagi sedih dan kecewa ahli2 dan penyokong2 pas.

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih dengan perkongsian ini, Berkesan...syukran2. Hanya orang yang mempunyai hati nurani yang suci dapat menghayati erti 'hub fillah' sebegini di saat2 begini(saat orang bertarung dengan nyawa jiwa murni tidak akan mengungkit kesilapan2nya sebagai manusia biasa, Allah lebih Adil untuk menilai).

Melihat dari sudut yang lain, semoga akal yang bijak dapat memahami tulisan ini. Ayat yang menyebut, "Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah hanya dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati" sudah cukup untuk ulul al-bab memahami bahawa khalifah yang terkenal dengan kecemerlangan pemerintahannya itu pun masih ada yang tidak senang. Seburuk2 penilaian anda terhadap pemerintahan Ustaz Azizan(seperti yang anda dakwa) tentu lebih baik dari regim UMNO/BN yang sangat rakus dengan duit rakyat dan penuh dengan penyelewengan/penipuan.

Kepada yang tidak menyenangi Ustaz Azizan semoga bergembira dengan MB Kedah yang baru.

Tanpa Nama berkata...

Zaman Saidina Ali Ada Kekecohan dari Rakyat, Zaman Azizan Ada Kekecohan dari Rakyat. Mereka berdua tidak perfect Namun Saidina Ali dijamin Syurga oleh Baginda Rasul. Perkara yang sama adalah jawapan Saidina Ali tika ditanya sebab berlakunya kekecohan. "Zaman Aku Menjadi Pemerintah Sebab Memiliki Rakyat seperti Kamu".