25 Mei 2013

Pemuda PAS sokong penuh himpunan 505

15 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan memberikan sokongan penuh kepada perhimpunan aman Himpunan Suara Rakyat 505 yang bakal diadakan hari ini.


“Saya menyokong penuh usaha gabungan NGO mengumpulkan kekuatan suara yang padu dari rakyat untuk pemulihan sistem demokrasi selama mana ia diurus secara aman dan baik. Demikian menurut satu laporan yang dipetik dari Harakahdaily organ rasmi PAS.

"Semoga 2505 akan menjadi satu lagi detik bersejarah, menyaksikan kebangkitan rakyat pula didominasi oleh anak muda yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam pengurusan serta pengendalian pilihanraya,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata 2502 adalah detik pengisytiharan suara anak muda khasnya dan rakyat amnya bagi mengemukakan pelbagai bukti dan saksi umum untuk menolak manipulasi dan membantah penyelewengan serta meluruskan kepincangan pilihanraya dalam sistem demokrasi negara.

“Insyaallah himpunan tersebut akan berlangsung dengan aman. Justeru itu saya mengharapkan semua peserta himpunan tidak terlibat dengan sebarang provokasi. Anak muda hanya mahu menyatakan suara mereka, bahawa perlunya sistem pilihanraya negara diperbaiki dan dipulihkan sebelum ianya runtuh lebih teruk,” tegas beliau.

Nasrudin juga menyeru pihak keselamatan untuk membantu tanpa melepaskan sebarang provokasi yang merosakkan tujuan sebenar perhimpunan esok.

“Berilah ruang dan peluang kepada rakyat untuk bersuara dan menyampaikan mesej mereka kepada pihak kerajaan secara aman dan santai,” saran beliau.

Pagi tadi, PAS mengumumkan akan bersama rakyat menyertai perhimpunan aman “Suara Rakyat 505” anjuran gabungan NGO di Petaling Jaya esok.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, ianya sebagai menifestasi membantah segala penipuan yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

“PAS akan diwakili Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar,” katanya kepada Harakahdaily.

Mohamad pula menyifatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah panik apabila cuba memberi amaran jangan menghadiri himpunan aman SuaraRakyat 505 esok.

Katanya, Zahid sepatutnya menawarkan diri untuk berdepan dengan rakyat yang mahukan kebebasan bersuara bukannya berselindung di sebalik polis.

"Zahid bukannya hendak berdepan dengan rakyat, sebaliknya berselindung di belakang polis. Dia bukan pemimpin yang berani sebab guna polis," katanya dalam berita itu.

Tiada ulasan: