13 Jun 2013

Anak muda dominasi Black505 Kelantan

4 Syaaban 1434 H. [MOD] -



KETEREH: Paling ramai anak-anak muda yang memenuhi setiap ruang padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam malam tadi. Mereka tanpa mengira jantina memakai baju hitam.

Sepanjang jalan menuju ke padang produk baju Blackout505 digantung di bawah khemah bagi menunggu pelanggan. Suasana seperti pasar malam yang menawarkan pelbagai jenama bertulis Blackout 505.

Gadis-gadis juga tidak ketinggalan mengenakan lilitan kepala yang bertulis perkataan Blackout 505.

“Sama seperti di tempat-tempat lain apabila puluhan ribu hadir pada perhimpunan aman itu bagi membantah penyelewengan yang berlaku pada pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kalau kita tidak berusaha untuk mengubahnya selagi itulah kepincangan dalam pilihan raya terus berlaku,” kata anggota parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.




Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula menjelaskan perhimpunan itu bukan untuk mengguling kerajaan, seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.


(Para pemimpin yang hadir di pentas utama)

“Tak kan pula orang ramai yang hadir dengan tangan tangan kosong kalau betullah mereka hendak guling kerajaan.

“Perhimpunan aman ini diadakan bagi menjaga hak rakyat. Kita tidak mahu pada masa akan datang ada kertas undi ditemui di ladang kelapa sawit,” katanya.

Menurutnya juga kaedah undi awal yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata memberi keutungan besar kepada Umno dan BN.

Hadir sama malam tadi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Selain itu Kasturi Patu mewakili DAP; Presiden R, Nazri Deraman; Penyelaras OKU Bangkit, Muhamad Faizal Che Yusoff; aktivis pelajar,

Safwan Anang, Leman Raja Lawak, Chekgu Bard dan wakil-wakil rakyat Kelantan.

Ramai juga anak-anak muda masyarakat Cina dan India yang hadir.

Husam berkata, penipuan dan penyelewengan menghalang Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, sebabkan itulah ramai rakyat hadir pada perhimpunan tersebut bagi meluahkan rasa tidak senang kepada SPR dan kerajaan BN.

“Semangat anak-anak muda cukup luar biasa sekali. Ini berlaku di seluruh negara apabila mereka beramai-ramai menyertai perhimpunan seperti ini,” kata Anwar.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: