02 Jun 2013

Baik pulih persefahaman kebangsaan

23 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menitahkan semua pihak, tanpa mengira kaum dan kepercayaan, menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membaik pulih semula persefahaman kebangsaan.

Dalam titah itu, Seri Paduka mahu agar prinsip-prinsip seperti demokrasi berparlimen yang sihat dan matang, Raja Berpelembagaan sebagai teras kestabilan nasional, menghormati falsafah Persekutuan, meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memuliakan kedaulatan undang-undang dijadikan teras panduan kepada proses itu.
“Membaik pulih semula persefahaman kebangsaan harus menjadi agenda nasional yang menjadi keutamaan semua pihak. Sama ada Malaysia terus berjaya dan mencapai tahap pembangunan berikutnya sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi atau menjadi sebuah negara gagal, semuanya bergantung kepada permuafakatan yang akan sama-sama kita capai.
“Oleh kerana itu, Beta mahu semua pihak mengekalkan dan memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan yang sedia wujud,” titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Seri Paduka turut mengingatkan sesetengah pihak yang cuba membaja permusuhan dan persengketaan di kalangan rakyat demi kepentingan agenda sempit mereka, supaya segera menghentikan perbuatan yang tidak berperlembagaan itu.
Seri Paduka bertitah usaha pengukuhan perpaduan nasional tidak boleh dianggap sebagai tugas serta tanggungjawab pihak tertentu sahaja, sebaliknya ia menjadi agenda setiap warganegara.
“Beta berkehendakkan agar kerajaan pimpinan Mamanda Perdana Menteri Beta supaya memastikan setiap dasar pembangunan negara hendaklah berpandukan kepada prinsip meraikan kemajmukan.
“Realitinya, masa depan kita saling berkait dan memerlukan satu sama lain. Semua rakyat Beta, tanpa mengira kaum dan agama seharusnya mendapat pembelaan,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim melahirkan rasa sukacita kerana proses pilihan raya umum lepas berjalan dengan tertib dan harmonis.
Baginda turut mengulangi agar semua pihak menerima keputusan yang telah dibuat rakyat iaitu melalui peti undi yang selaras dengan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang.
“Jika terdapat sebarang perbezaan atau ketidakpuasan hati, maka gunakanlah mekanisme mahkamah yang sedia ada, sepertimana diperuntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Beta tidak mahu mana-mana pihak mengambil sebarang tindakan yang lampau undang-undang, mahupun lampau Perlembagaan,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka juga berharap agar kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus mendukung cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, beretika, bermoral tinggi dan rakyatnya dikenali sebagai bangsa yang berakhlak, bermaruah serta disegani.
- Bernama

Tiada ulasan: