07 Julai 2013

Jentera Pemuda PAS Dari Seluruh Negara Akan Ke Kuala Besut - Nik Abduh


28 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU: Jentera Pemuda PAS dari seluruh negara akan berkumpul di Kuala Besut bagi memperkuatkan jentera di situ pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, mereka akan menumpukan usaha menarik anak muda menyokong calon parti berkenaan dengan moto '16-16'.


"Kita yakin dengan moto kita 16-16 kerana ia akan beri satu benda baru kepada politik negara," katanya kepada pemberita selepas ceramah mengenai kemuliaan Ramadan, di pekarangan Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini Ahad.
Menurut beliau, secara amnya semua jentera Pemuda PAS termasuk peringkat pusat sudah bersedia untuk turun ke Kuala Besut.
Moto '16-16' itu merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Terengganu andai PAS berjaya merampas DUN Kuala Besut pada pilihan raya kecil berkenaan. Selepas pilihan raya umum Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir Barisan Nasional (BN) yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.
Kerusi DUN Kuala Besut kosong selepas penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar daripada BN, meninggal dunia pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.
Ditanya mengenai kedudukan 16-16 itu, anak Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata: "...benda ini tak berlaku lagi, kita akan tengok bagaimana ia diselesaikan."

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada ceramah berkenaan enggan menjawab soalan pemberita atas alasan beliau kepenatan. - BERNAMA

Tiada ulasan: