21 July 2013

'Sogokan' projek RM377 juta, SPR hanya membisu?

12 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

BESUT: PAS menyifatkan tindakan menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung sogokan yang dilakukan Umno BN terhadap pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 Kuala Besut sebagai membuang masa.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata, dengan peruntukan sebanyak RM377.45 untuk projek-projek yang diumumkan setakat ini, jelas menunjukkan ia merupakan pembelian undi menjelang PRK.

"Perkara ini wajar dilihat sebagai sogokan tetapi kita tidak mengharapkan SPR misalnya untuk membuat sebarang komen, untuk mengiyakan atau menafikan semua janji ini adalah sogokan.

"Buang masa sahaja kita harap SPR buat kenyataan cuma kita harap pemantau-pemantau dapat membuat laporan-laporan yang sewajarnya," kata beliau pada sidang media di Markas Besar PAS di Kampung Baharu hari ini.

Beliau bagaimanapun masih menaruh harapan agar SPR telus dan berperanan sebaik mungkin dalam PRK sebagai badan yang bebas.

"Ada sedikit lagi sisa-sisa harapan saya minta SPR mengambil serius isu ini, jangan kata terserah kepada kementerian.

"Kena ada peraturan untuk menghalang daripada janji-janji segera, memberikan bantuan kepada pengundi.

"Apa kita nak definisi pengumuman projek-projek ini melainkan membeli undi," katanya.

Sebelum itu, pada sidang media bersama ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Hatta mendedahkan sebanyak sepuluh projek dijanjikan oleh Umno BN sepanjang sepuluh hari berkempen.

Antaranya ialah projek projek berjumlah RM250 juta untuk mendalamkan Sungai Besut dan pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka.

"Hasil kempen PAS dan Pakatan Rakyat mendedahkan kepincangan tadbir urus dan ketempangan pembangunan yang tidak seimbang ini maka rakyat Kuala Besut mendapat habuan ini," katanya.

Malaysiakini/-

No comments: