19 Syawal 1434 H. [MOD] -
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan kira-kira lebih 1,000 individu kebanyakannya gengster dalam tempoh seminggu dalam satu operasi untuk membendung aktiviti jenayah dan kekerasan.
Operasi itu yang dikenali sebagai 'Ops Cantas Khas' bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata kira-kira 1,018 individu ditahan dalam serbuan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor sejak 17 Ogos lalu.
"Kebanyakan mereka yang ditahan merupakan ahli kumpulan Geng 36, Geng 08 dan Geng 04," katanya.
Menurut beliau, polis turut merampas 13 senjata api termasuk pistol, parang dan pisau serta menjumpai 36 kereta curi.
Abdul Jalil berkata orang ramai turut memberikan maklum balas positif dan maklumat penting sejak operasi itu dilancarkan.
"Kira-kira separuh berjaya ditahan hasil maklumat yang diberikan kepada kami. Kerjasama orang ramai banyak membantu sepanjang operasi tersebut.
"Walaupun banyak maklumat diterima, kami menyemaknya dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesilapan ketika melakukan tangkapan," katanya.
Antara maklumat sama yang diterima adalah mengenai pengumpulan individu meragukan di sebuah rumah atau tempat awam tertentu.
Abdul Jali berkata kira-kira 920 anggota polis ditugaskan di bawah operasi tersebut untuk melakukan sekatan jalan raya dan memburu penjenayah dikehendaki.
Katanya, operasi tersebut yang dilakukan antara tengah malam dan 5 pagi setiap hari adalah untuk mengurangkan jenayah serius dan mencegah jenayah lain daripada berleluasa.
"Pada minggu lalu, kami melakukan pemeriksaan ke atas 50,245 orang dan 22,956 kereta kebanyakannya motosikal. Kami tidak akan menghentikan operasi itu sehingga kami berpuas hati dengan kadar penurunan jenayah bagi memastikan negara berada dalam keadaan selamat," katanya.
Ops Cantas Khas melibatkan pegawai dan anggota JSJ dari Bukit Aman, polis kontinjen negeri dan daerah berkaitan.
"Kami menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 untuk menahan suspek," katanya.
Di George Town, polis berjaya menahan 77 orang termasuk enam wanita berusia antara 20 dan 40 serta seorang remaja dalam beberapa serbuan pada hujung minggu lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata beberapa lelaki yang ditahan itu merupakan penjenayah dikehendaki atas pelbagai kesalahan jenayah.
Dalam serbuan pertama, polis menjumpai dua bilah parang sepanjang 70cm di dalam sebuah tandas dekat kelab malam di Jalan Dr Lim Chwee Leong.
Enam wanita dan 27 lelaki, tiga daripada warga asing ditahan dalam kelab malam tersebut.
"Tiga lelaki warga asing itu bekerja sebagai pelayan tanpa permit," kata Mohd Nasir.
Dalam serbuan kedua di sebuah kelab malam di Jalan Penang, polis menahan 33 lelaki dan seorang remaja.
"Kami akan mengambil tindakan ke atas pemilik kelab malam itu kerana membenarkan remaja tersebut memasuki premis berkenaan," katanya.
Mohd Nasir berkata polis turut melakukan serbuan ke atas 44 rumah selepas menerima maklumat daripada orang ramai.
"16 suspek terlibat dalam pelbagai kes seperti melakukan rusuhan, mencederakan orang lain, merompak, pecah rumah, peras ugut dan penipuan telah ditahan," katanya.\
Tiada ulasan:
Catat Ulasan