31 Ogos 2013

Loji kembali berfungsi, bekalan air mulai pulih

24 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,31 Ogs 2013

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim  memaklumkan, Loji Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 kembali beroperasi semula bermula awal pagi ini selepas ditutup sementara semalam.



Dengan itu, bekalan air dijangka pulih mulai tengahari tadi secara berperingkat-peringkat.



Katanya, bermula 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi tadi, SSP1 dan SSP3 kembali beroperasi secara berperingkat setelah pencemaran berjaya dikawal dan kakitangan serta pegawai yang bertugas mengenas pasti tiada lagi kesan minyak.



Pada jam 4 pagi sehingga 6 pagi tadi, pengeluaran air di SSP1 dan SPP3 telah meningkatkan tahap rizab air mentah sebanyak 5 meter.



"Kita menjangkakan bekalan air bersih kepada pengguna akan pulih secara berperingkat selepas tengahari ini," kata beliau dalam kenyataannya.



Sehubungan itu, beliau mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya tidak menggunakan alasan ini untuk membiarkan gangguan bekalan air berleluasa sedangkan masalah pencemaran ini telah pun dikawal.



"Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai dari Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar dan Unit Perancang Ekonomi Negeri yang telah bekerjasama dgn SPLASH bagi memastikan loji-loji berkenaan beroperasi semula," katanya.



Jabatan Alam Sekitar, LUAS dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) telah menjejaki punca pencemaran ke sebuah pusat selenggaraan lori sampah di Rawang yang mana siasatan awal menunjukkan minyak diesel terpakai dibuang ke longkang dan dibiarkan mengalir ke sungai.



Majlis Perbandaran Selayang telah pun menyita premis berkenaan dan perintah berhenti kerja telah pun dikeluarkan.

Tiada ulasan: