31 Ogos 2013

Perompak larikan lebih RM600,000 selepas pecahkan tiga mesin ATM

24 Syawal 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU: Sekumpulan penjenayah melarikan wang tunai sebanyak RM667,906 selepas memecahkan tiga mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Chabang Tiga Pengkalan Chepa di sini, pagi ini. 

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian kira-kira 3 pagi itu berlaku selepas suspek masuk ke kawasan yang menempatkan ATM itu melalui bumbung belakang bangunan. 

"Penjenayah memotong jeriji besi pintu bangunan dan memotong mesin ATM dengan menggunakan gas oxy (Oxy-Acetylene). 

"Kami percaya ia dilakukan oleh golongan profesional yang mempunyai kemahiran memecah mesin ATM dengan menggunakan gas itu," katanya di tempat kejadian di sini. 

Beliau berkata, penjenayah bagaimanapun tidak memecahkan mesin deposit tunai (CDM) di situ. 

Mazlan berkata, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti penjenayah melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam bangunan itu dan kedai berdekatan. 

"Maklumat orang awam amat diperlukan...penjenayah yang memecah mesin ATM ini dipercayai datang ke kawasan ini menaiki kereta. 
"Saya juga mengharapkan supaya pihak bank terus melaporkan kepada kami jika terdapat bangunan kosong di kawasan sekitar premis mereka," katanya. 

Sehingga Ogos lepas, tiga kejadian berkaitan samun mesin ATM berlaku di Pasir Mas dan Pengkalan Chepa, di sini. - BERNAMA

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mungkin ini soalan bodoh dari aku yg tak pandai ni..camna boleh dpt jumlah ni RM667,906 sedangkan wang kat ATM hanya ada note RM 10, 20, 50, 100 aja. Camna ada lebih RM6 tu..

Tanpa Nama berkata...

hadiah sambutan hari merdeka ...