07 September 2013

9 anggota kongsi gelap ditahan cuba lari ke Thailand

1 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Polis menahan sembilan lelaki yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 04 dan 08 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam malam tadi ketika cuba melarikan diri ke negara jiran untuk bersembunyi.



Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hasan berkata kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam oleh pasukan Cantas Khas Bukit Aman ketika cuba melepasi pintu sempadan negara.

Katanya hasil siastan awal mendapat salah seorang daripada mereka tidak mempunyai sebarang pasport atau dokumen untuk masuk ke negara jiran itu.

Beliau berkata mereka melintasi sempadan dengan berjalan kaki bagi mengelak dikesan pihak berkuasa yang giat menjalankan Ops Cantas Khas terhadap kumpulan kongsi gelap.

"Kita kesan mereka masuk sempadan setiap hari berdasarkan cop Imigresen pada pasport mereka dan kita percaya mereka cuba melarikan diri daripada dikesan polis serta ada yang masuk untuk membuang tatu mereka.

"Kita percaya sembilan individu yang ditahan itu mempunyai jawatan dalam kongsi gelap itu dan ada di kalangan mereka adalah 'fighter' yang terlibat dalam kes pergaduhan. Kita akan siasat perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di CIQ Bukit Kayu Hitam awal pagi ini.

Abd Jalil berkata kesembilan lelaki itu berasal dari negeri ini, Perak dan Selangor.

Katanya pihaknya akan meminta bantuan daripada polis negara jiran bagi membantu menjejaki saki baki anggota kumpulan haram itu yang masih aktif dalam negara ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mengetatkan pintu kawalan bagi mencantas semua penjenayah yang juga anggota kongsi gelap yang cuba memboloskan diri ke sempadan negara jiran itu.

Beliau turut berterima kasih kepada anggota masyarakat yang turut sama membantu polis dalam usaha mengekang kumpulan kongsi gelap haram dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara itu.

- Bernama


No comments: