10 October 2013

Belanja besar untuk cantik

5 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Beijing: Semakin ramai pelajar di China menjalani pembedahan plastik untuk memperbaiki gaya dan penampilan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan dengan lebih mudah selepas menamatkan pengajian. 


Media tempatan melaporkan, pembedahan plastik paling banyak dilakukan pada cuti musim panas dan musim dingin. 


“Mereka sanggup berbelanja besar dan pergi ke Korea Selatan untuk menjalani pembedahan. Tahun lalu, kira-kira 25 peratus pesakit yang menjalani pembedahan plastik adalah pelajar dari China,” kata laman web asiaone. 


Agensi Pelancongan Korea melaporkan, 30,000 rakyat China memasuki Korea Selatan tahun lalu menggunakan visa pelancongan kesihatan. 



Tingkat keyakinan diri  Laman web itu melaporkan, mereka memilih untuk menjalani pembedahan plastik untuk meningkatkan keyakinan diri dan berharap mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik. 



“Pembedahan yang paling kerap dijalankan ialah di bahagian mata dan hidung. Selain itu, pembedahan dilakukan untuk membentuk kembali wajah, termasuk konfigurasi tulang rahang dan menyedut lemak,” kata laman itu. 

Pelajar Universiti di Qingdao, wilayah Shandong, Zou Jiahong, 22, adalah antara tujuh juta mahasiswa di China yang akan menamatkan pengajian tahun depan yang menjalani pembedahan plastik. 



“Saya sudah ditemuduga untuk beberapa pekerjaan. Walaupun penemuduga tidak memberitahu secara terbuka, mereka nampaknya lebih cenderung memilik orang cantik,” katanya. 



Keluarga sokong 



Dengan sokongan kedua-dua ibu bapanya bulan lalu, Zou berlepas ke Korea Selatan untuk menjalani pembedahan plastik dan kelopak mata. 



“Selepas pembedahan itu ayah saya memberitahu saya sudah berubah daripada itik hodoh menjadi seekor angsa putih yang cantik. Saya percaya, sedikit perbezaan akan meningkatkan peluang untuk saya mendapat pekerjaan lebih baik,” katanya. 



Fenomena membimbangkan 



Bagaimanapun, pakar sosiologi dari Akademi Sosial Anhui, Wang Kaiyu melahirkan kebimbangan mengenai fenomena ini. 



“Mencari pekerjaan bukan pertandingan ratu cantik. Bakat dan kemampuan tetap menjadi faktor yang paling penting,” katanya. AGENSI

No comments: