10 October 2013

Polis Tahan Guru Menyamar Polis, Rampas Pistol Tiruan


5 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Polis menahan seorang guru yang menyamar sebagai anggota polis dan merampas sepucuk pistol tiruan ketika lelaki itu cuba memperdaya dua lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel butik di Dengkil, dekat sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata lelaki itu ditahan dalam Ops Cantas Khas di kawasan itu kira-kira 10.30 malam.

Beliau berkata selain pistol tiruan, polis turut merampas sebuah beret yang mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), alat walkie-talkie, dua bilah pisau, kad kuasa polis yang palsu dan rantai bertulis nama 'ASP Izani' daripada suspek.
"Siasatan lanjut mendapati suspek berumur 36 tahun dan merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Putrajaya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Rabu.
Mohd Shukri berkata polis sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kes-kes lain membabitkan individu menyamar anggota polis.
Katanya suspek ditahan reman sehingga 12 Okt ini untuk siasatan.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata sejak 5 Sept hingga 7 Okt lepas, polis menahan 160 individu dipercayai anggota sembilan kumpulan kongsi gelap seperti Geng 04, 08, 18, 21, 24, 36, 37, Double 7 dan Satu Hati dalam Ops Cantas Khas.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.
"Sehingga kini, operasi itu menghasilkan 2,259 tangkapan atas pelbagai kesalahan jenayah dan 1,019 barang rampasan seperti senjata berbahaya, dadah, pistol, peralatan pecah rumah dan kenderaan serta wang tunai berjumlah RM2,443.15," katanya.
Mohd Shukri berkata antara 115 dan 125 sekatan jalan raya dijalankan setiap hari di seluruh Selangor sejak operasi itu bermula dan 86,733 orang diperiksa.
Beliau berkata 4,344 serbuan juga telah dijalankan sepanjang operasi itu membabitkan premis, rumah, pusat hiburan dan 'hot spots' aktiviti jenayah di seluruh Selangor.BERNAMA

No comments: