19 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan RM28.8 juta setahun bagi menyewa pesawat untuk kegunaan Perdana Menter (PM).
Selain itu sebanyak RM5.5 juta dikeluarkan bagi tujuan penyelenggaran pesawat jet VVIP tersebut.
Ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan dalam tempoh tiga tahun dari 2010 kerajaan telah berbelanja RM86.4 juta untuk kos sewa pesawat, RM16.515 juta bagi penyelenggaraan dan RM3.32 juta untuk penambahbaikan jet tersebut.
Mengulas perkara itu, Kor Ming, dalam tempoh tiga tahun kerajaan menanggung RM100.47 juta untuk pesawat peribadi kegunaan PM.
"Sebagai bandingan rakan sejawat PM di Singapura, Lee Hsien Loong, beliau hanya menaiki kelas pertama Singapore Airline ketika membuat lawatan luar negara dan ini menjimatkan wang rakyat.
"Teladan ini haru dicontohi oleh PM untuk membuat pertimbangan menaiki tiket kelas pertama Penerbangan Malaysia (MAS) dan bukannya pesawat jet mewah," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.
Katanya lagi, ketika Malaysia mengalami defisit 17 tahun berturut-turut dan ledakan hutang negara sehingga mencecah paras RM516.3 bilion, kerajaan Barisan Nasional (BN) disaran menunjukkan teladan baik berhemah dari segi pengurusan kewangan.
"Pada tahun ini kerajaan terpaksa mengemukakan belanjawan tambahan sebanyak dua kali di parlimen kerana kegawatan kewangan.
"Jumlah defisit kerajaan tahun ini sahaja sebanyak RM69.2 bilion, jadi atas angka yang merunsingkan kita ini PM perlu mengamalkan perbelanjaan yang berhemah, jangan membazir," sambung beliau.
Katanya lagi, Ketua Audit Negara turut menyarankan agar Jabatan Perdana Menteri supaya mencerminkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan kerajaan.
harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan