20 October 2013

Sultan Jamalul Kiram III Meninggal Dunia

15 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
MANILA: Sultan Jamalul Kiram III dari Filipina yang mendakwa dirinya Sultan Sulu dan melancarkan serangan berdarah terhadap Malaysia di Sabah pada awal tahun ini meninggal dunia akibat kegagalan organ kira-kira pukul 4 pagi Ahad, menurut isterinya, Fatima Kiram.
"Sultan meninggal dunia sebagai seorang yang miskin tetapi mulia," katanya kepada AFP, sambil menambah perjuangan untuk menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah kesultanan akan diteruskan.
"Kata-kata terakhirnya kepada semua saudara dan pengikut-pengikutnya adalah - 'Ia telah pun bermula. Marilah kita teruskannya untuk kebaikan rakyat kita. Jangan meninggalkan orang-orang kita," katanya memetik Jamalul Kiram III sebagai berkata.
Bagaimanapun, beliau berkata ini tidak bermakna keganasan baru akan dicetuskan, sebaliknya keluarganya bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Malaysia.
Suaminya telah menjalani sesi dialisis dua kali seminggu untuk penyakit buah pinggang sebelum kematiannya.
Sementara itu, melalui temuramah anak perempuannya, Puteri Jacel Kiram di radio tempatan, inquirer.net melaporkan bahawa Jacel berkata bapanya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang.
Dilaporkan bahawa Jamalul Kiram III telah dimasukkan ke Pusat Jantung Filipina pada Khamis.
Beliau meninggalkan sembilan anak.
Jacel melalui temuramah radio berkata, "Apa yang telah bapa saya telah mulakan, telah ditinggalkan kepada kami untuk disambung...Kami tidak patut menghentikannya. Dia seorang yang baik dan tidak ternilai. Apa yang dia mahukan adalah, pada suatu masa diizinkan Allah bagi menuntut Sabah untuk Filipina...Kamilah orang-orang yang akan menyambungnya," menurut laporan inquirer.net
Pada 9 Februari lalu, kira-kira 200 pengikut Jamalul Kiram III menduduki Kampung Tanduo di Lahad Datu dan berperang dengan pasukan keselamatan Malaysia dalam pencerobohan selama berminggu-minggu lamanya.
Untuk rekod, sejak para militan Sulu ini mendarat di Sabah, dalam usaha dan kepercayaan mereka untuk menuntut Sabah dari tangan Malaysia bagi pihak Jamalul Kiram III, secara kekerasan, pihak keselamatan Malaysia telah membunuh 62 orang daripada mereka.
Manakala pasukan keselamatan Malaysia kehilangan 10 anggota - lapan anggota polis dan dua tentera.
Gerakan untuk merampas semula Sabah dari Malaysia secara perang gerila ini diketuai oleh adik kepada Jamalul Kiram III, Azzimudie Kiram.
MStar/-

No comments: