12 October 2013

Wanita Nyaris Maut Terkena Tembakan di Lampu Isyarat


7 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KOTA BAHARU: Seorang wanita berusia 22 tahun nyaris maut terkena tembakan di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Binjai, Kubang Kerian di sini, Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata kejadian pukul 6.40 petang itu menyebabkan Nurul Atikah Sidek mengalami luka di bahagian hidung, muka serta tangan kanan dipercayai kesan terkena serpihan cermin kereta yang pecah akibat tembakan.

"Terdapat lima kesan tembakan ditemui pada kereta mangsa iaitu dua di cermin sebelah kanan pemandu, satu pada pintu dan dua di cermin hadapan sebelah pemandu.
"Tembakan itu bagaimanapun tidak tepat mengenai mangsa dan penembak kemudian melarikan diri ke arah Bachok dengan motosikal," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mazlan berkata ketika kejadian, wanita yang berasal dari Kampung Karang Banggu, Kota Baharu itu sedang memandu kereta seorang diri dari arah Bachok menghala ke Kubang Kerian sebelum berhenti di lampu isyarat itu.
Beliau berkata kereta jenis Proton Persona itu dihampiri empat individu yang menaiki dua motosikal sebelum seorang daripada pembonceng motosikal itu melepaskan lima das tembakan.
"Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan keadaannya stabil.
"Mangsa memberitahu tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa dan kemungkinan dalam kes ini suspek tersalah sasaran," katanya. -BERNAMA

No comments: