23 Disember 2013

Syarikat projek mega langgar peraturan alam sekitar

19 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Lajnah Alam Sekitar PAS Terengganu menyambut baik ketegasan Kementerian Kesihatan yang bercadang untuk mengkaji bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang melanggar peraturan berhubung kebersihan amal sekitar dalam usaha menyekat dan mengawal wabak denggi.


Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam sebagaimana dipetik oleh sebuah akhbar harian berkata, sekalipun kementerian menjalankan pendidikan dan kempen kesedaran namun masih ramai melakukan kesalahan.

Walaupun begitu, Lajnah Alam Sekitar PAS Terengganu berpendapat, mengaitkan tindakan pelanggaran kebersihan alam sekitar dengan peningkatan kes wabak denggi cuma satu daripada skop penumpuan penguatkuasaan. 

“Sedangkan bahana dari jenayah alam sekitar kepada kehidupan manusia adalah lebih besar dan menyeluruh,” ujar pengerusinya, Dr Azman Ibrahim (gambar) dalam satu kenyataan. 

Katanya, kalau sasaran dari penguatkuasaan undang-undang yang menjanjikan hukuman lebih berat ini adalah orang ramai atau rakyat awam, beliau berpendapat bahawa sasaran itu juga menumpukan hanya satu skop yang terhad. 

Menurutnya, perlanggaran peraturan alam sekitar hasil dari tindakan rakyat awam kesannya sangat adalah sangat sedikit atau minima. 

Sebaliknya, kata beliau tindakan pencabulan alam sekitar secara rakus oleh syarikat-syarikat mega bersaiz gergasi dengan pelaksanaan projek-projek bernilai ratusan juta ringgit adalah isu yang perlu diberikan tumpuan dalam penguatkuasaan undang-undang.

“Denggi adalah satu wabak yang boleh membawa maut. Jenayah alam sekitar yang lain, kesannya juga tak kurang hebat. 

“Banjir, tanah runtuh, pencemaran sungai dan tasik, hakisan tanah, musnahnya habitat dan ekosistem semula jadi,” ujarnya lagi. 

Kata beliau, kesannya adalah kerosakkan dan kerugian harta benda, kehilangan sumber pendapatan rakyat, kesan sosioekonomi rakyat, kehilangan tempat pembiakan spesis hidupan air yang menjejaskan pendapatan nelayan dan pelbagai lagi.

“Di Terengganu sendiri kita mempunyai senarai panjang beserta data lengkap siri-siri perlanggaran aspek alam sekitar dalam perlaksanaan projek-projek bersaiz mega dengan peruntukan ratusan juta ringgit,” katanya. 

Sebahagiannya, kata beliau dilaksanakan oleh syarikat-syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan sendiri.

Azman menambah, pihaknya telah memainkan peranan dari segi aspek penelitian, pengumpulan data dan fakta, kajian di lapangan seterusnya disusuli dengan pendedahan demi pendedahan. 

Beliau berkata, semuanya masih dipandang sepi oleh pihak berwajib yang mempunyai autoriti untuk mengambil tindakan.

“Maka, demi menyahut ketegasan Menteri yang bercadang untuk mengenakan hukuman berat terhadap pesalah alam sekitar, Lajnah Alam Sekitar PAS Terengganu menawarkan khidmat percuma untuk membantu membekalkan data, fakta serta hasil kajian kami bagi dimanfaatkan oleh pihak berwajib supaya isu-isu alam sekitar yang membelengu rakyat dapat ditangani dengan sewajarnya,” ujarnya. 

Pihaknya juga, kata beliau bersedia untuk duduk semeja, berbincang bagi mencari solusi terbaik atas kapasiti kami adalah pihak yang dekat dengan rakyat serta merasai denyut nadi rakyat,” katanya. 

“Laporan EIA atau DEIA yang dikemukakan pihak pemaju, maaf kalau kami katakan, sebahagian besarnya hanyalah lesen bagi perjalanan projek-projek mereka sedangkan hakikat kesan yang sebenar, banyak disembunyikan dari pengetahuan umum,” katanya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: