24 January 2014

Bayaran Proses Cek 50 Sen Mulai 1 April - ABM

22 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) mengingatkan orang ramai bahawa bank-bank komersial akan mengenakan bayaran pemprosesan cek sebanyak 50 sen ke atas pengeluar cek atau penunai cek, berkuat kuasa 1 April, 2014.
Justeru itu, pengeluar atau penunai cek diingatkan supaya memastikan wang dalam akaun mereka mencukupi untuk menampung bayaran pemprosesan cek, kata persatuan itu dalam satu kenyataan Khamis.

"ABM dan bank-bank anggota kami menyokong penuh agenda nasional bagi perpindahan ke bayaran elektronik (e-pembayaran) dan ingin menggalakkan orang ramai menggunakan e-pembayaran yang merupakan kaedah pemindahan wang dan membuat pembayaran yang cepat, termampu dan mudah," katanya.
Satu siri jelajah ke seluruh negara dan hari terbuka untuk memperkenalkan e-pembayaran, khususnya GIRO Antara Bank, telah diadakan sejak Oktober 2013 dan akan diteruskan hingga Mac 2014.
Siri jelajah itu dianjurkan bersama oleh Bank Negara Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia dan ABM.
Bagi penjelasan lebih lanjut, ABM telah mengeluarkan garis panduan kepada orang ramai tentang cara bayaran pemprosesan cek itu dikenakan.
Garis panduan itu boleh didapati di laman sesawang ABM, www.abm.org.my. - BERNAMA

No comments: