24 Januari 2014

Perintah darurat di Thailand, hak asasi diperjudikan - AHRC

22 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asia (AHRC) bimbang dengan perintah darurat yang diumumkan kerajaan Thai Isnin lepas mungkin mewujudkan satu keadaan bagi kerajaan untuk melanggar hak-hak dan bukan melindunginya.
    
Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu mahu ia dibatalkan dengan kerajaan Thailand hanya menggunakan undang-undang biasa yang konsisten dengan standard hak asasi manusia antarabangsa bagi menangani desakan politik.

Perintah itu memberi kuasa menyeluruh kepada pemimpin negara untuk mengambil pelbagai tindakan bagi menyelesaikan keadaan darurat termasuk membuat tangkapan, menapis akhbar, menyekat pergerakan dan menggunakan kuasa tentera dan berkuasa selama 60 hari.
    
Apabila pengumuman dibuat, timbalan perdana menteri sementara Surapong Tovichakchaikul menjelaskan bahawa perintah itu dikeluarkan bagi menggunakan undang-undang untuk menangani pelanggaran undang-undang yang dilakukan perusuh Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) dan supaya demokrasi berkembang di Thailand, kata kenyataan itu.
    
Walaupun niat kerajaan pada ketika ini untuk menggunakan perintah darurat bagi memelihara demokrasi, bentuk undang-undang yang ada menjadikannya mustahil, kata AHRC.
    
AHRC berkata menyedari ancaman kepada hak asasi manusia dan juga kedaulatan undang-undang dalam erti kata yang luas, melalui protes oleh PDRC, ia juga mengutuk pengisytiharan perintah darurat dan memberi amaran ia menimbulkan kekosongan undang-undang yang membolehkan kerajaan melanggar hak asasi manusia atas nama keselamatan.
    
Menurut AHRC, pihaknya berulang kali mendokumenkan dalam kes tiga wilayah paling selatan Thailand, yang berada di bawah perintah darurat sejak Julai 2005, bahawa perintah itu menimbulkan kekosongan undang-undang yang begitu berbahaya apabila penahanan dan seksaan sewenang-wenangnya kerap kali berlaku menyebabkan usaha membetulkannya menjadi sukar.
    
AHRC juga meminta semua pihak awam dalam konflik ini supaya menghormati hak asasi manusia dan mengelak daripada menggunakan kekerasan.
    
Ia menjelaskan bahawa walaupun PDRC mendakwa tidak melakukan kekerasan dan menggunakan taktik keingkaran awam, tindakan mereka yang retorik juga mengandungi keganasan yang tersembunyi.
    
Di kawasan Bangkok yang diduduki PDRC, rakyat yang mahu memasuki kawasan itu mungkin dihalang berbuat demikian oleh pengawal PDRC atau menghadapi pemeriksaan dan gangguan, kata kenyataan itu.
    
AHRC berkata dalam laporan yang dikeluarkan oleh akhbar dalam talian Prachatai, dua lelaki yang ditahan PDRC mengadu disoal siasat dan teruk dipukul kerana dikatakan menganggotai kumpulan Baju Merah.
    
Bentuk keganasan yang dihadapi dua lelaki ini menunjukkan bahawa walaupun ia mendakwa satu pengingkaran awam, PDRC menjadi satu pertubuhan separa negara, kata kenyataan itu.
  
- Bernama

Tiada ulasan: