31 Januari 2014

Muhammad Ali peluk Islam di puncak kegemilangan

29 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
SIAPA tidak kenal Muhammad Ali, peninju dunia kulit hitam berasal daripada Amerika Syarikat?
Muhammad Ali dilahirkan sebagai Cassius Marcellus Clay, Jr. Dilahirkan di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat pada 17 Januari 1942; beliau kini berusia 72 tahun.
Ketika berusia 33 tahun, beliau menyertai Nation of Islam pimpinan Elijah Mohamad dan akhirnya memeluk Islam pada 1975.
Pada 1999, Ali dianugerahi “Sportsman of the Century” oleh Sports Illustrated. Beliau menyandang juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali.


Dengan jolokan “The Greatest” (Yang Maha Besar, meskipun beliau kemudiannya menyedari bahawa hanya Allah Yang Maha Besar), Ali terlibat dalam beberapa pertarungan tinju bersejarah. Di antaranya dengan Joe Frazier dan George Foreman yang dikalahkannya dengan KO (knockout) untuk memenangi juara tinju dunia bagi kali kedua.
Di sepanjang kareer tinjunya, Ali hanya mengalami 5 kekalahan (4 kalah dengan kiraan mata dan satu TKO) dan tanpa seri.
Ali mencatat 56 kali kemenangan dengan 37 KO dan 19 kiraan mata.
Ali terkenal dengan gaya bertinjunya yang lain dari yang lain. Dia digambarkan sebagai “menari bak kupu-kupu dan menyengat bagaikan lebah” dan menggunakan teknik “the rope-a-dope”.
Ali pernah digantung daripada beraksi kerana enggan menyertai program kerahan tenaga tentera pemerintah Amerika Serikat dalam perang Vietnam. Ungkapan beliau yang terkenal ketika menolak kerahan tenaga itu adalah:Saya tidak ada masalah dengan orang-orang Vietcong, dan tidak ada satupun orang Vietcong yang memanggilku dengan sebutan Nigger!”
Sikap antiperang beliau terserlah apabila mengecam secara terbuka kempen ketenteraan Amerika Syarikat di Vietnam dengan berkata:
“Saya tidak akan pergi 10 ribu batu untuk menolong serangan dan pembakaran terhadap manusia dan melanjutkan dominasi majikan kulit putih yang memperhambakan manusia berkulit berwarna di seluruh dunia. Ini adalah hari dan era di mana ketidakadilan yang biadab berakhir 
“Mengapa mereka mengarahkan saya memakai uniform dan pergi puluhan ribu batu jauhnya dari kediaman saya dan menggugurkan bom dan menembak peluru ke arah orang berwarna perang di Vietnam sedangkan orang yang dipanggil Negro di Louisville (Amerika Syarikat) dilayan seperti anjing dan dinafikan hak asasi mereka sebagai manusia?”
Paling membanggakan Malaysia mempunyai pengalaman manis bersama Muhammad Ali!
Pada 30 Jun 1975, satu perlawanan bersejarah untuk merebut Tali Pinggang Tinju Heavyweight Sedunia (World Heavyweight) telah diadakan di antara Muhammad Ali dan seorang lagi lagenda tinju dunia, Joe Bugner. 
Sebelum itu, Bugner yang juga Juara Tinju Eropah kelahiran Hungary, pernah bertarung dengan Ali pada 1973. Ali menang dalam perlawanan 12 pusingan itu. Dalam perlawanan itu, Ali mengakui bahawa Bugner mempunyai keupayaan untuk menjadi juara dunia dalam sukan tinju. 
Ini mendorong Bugner untuk bertemu kali kedua dengan Muhammad Ali dan Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi acara bersejarah itu.
Pertarungan bersejarah pada 1975 di Stadium Merdeka telah disaksikan secara langsung di seluruh tanah air (menerusi RTM) dan 59 buah negara lain. Sekalipun tewas, Bugner kemudiannya menempa nama selaku Juara Tinju Heavyweight WBF, Juara Tinju Heavyweight Australia dan Juara Tinju Heavyweight PABA, pada tahun-tahun berikutnya. 
Ali telah mengaut keuntungan sebanyak $2 juta manakala Bugner mencatat keuntungan $500,000 dalam perlawanan yang disaksikan lebih 22,000 orang penonton di Stadium Merdeka.
Selepas perlawanan bersejarah ini, Ali buat kali pertama menyatakan hasratnya untuk bersara. Meskipun perlawanan ini kemudiannya dicemari dengan kontroversi kes mahkamah yang menggegarkan politik Selangor dan negara, pertarungan Muhammad Ali-Joe Bugner akan terus dikenang oleh peminat tinju tanah air khususnya, sebagai salah-satu peristiwa bersejarah negara.

Tiada ulasan: