20 March 2014

Khutbah Jumaat : Jauhi Perbuatan Syirik dan Khurafat

18 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …
أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.   Walaupun ujian demi ujian yang melanda, moga kita terus istiqamah berada atas landasan Aqidah dan Syariah Allah yang benar. 


Muslimin yang dirahmati Allah,
Negara diuji dengan berbagai ujian, termasuk kemarau panjang yang menggusarkan seluruh rakyat dan kehilangan pesawat MH370 yang masih dalam usaha pencarian. Umat Islam meletakkan pergantungan kepada Allah, dengan berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah yang Maha Berkuasa. Munajat dan Solat Hajat tidak henti-henti dilaksanakan di mana-mana sahaja.  
Namun, dicelah kesungguhan tersebut, kita dikejutkan dengan perbuatan perbomohan yang jelas bercanggah dengan Syara’ dan amat memalukan negara di mata dunia. Rata-rata umat Islam malah yang bukan Islam, tidak bersetuju malahan merasa jelek dan malu atas perbuatan tersebut.
Walaubagaimanapun masih terdapat segelintir umat Islam yang masih percaya dan bergantung harap dengan kaedah perbomohan ini. Mungkinkah secara tidak langsung Allah sedang menunjukkan kepada dunia bahawa Nusantara (Malaysia khasnya) masih begitu banyak amalan khurafat ini?
Sidang Jumaat yang  dirahmati Allah,
Perbomohan ini kebiasaannya dikaitkan dengan aktiviti rawatan akibat sakit. Islam telah mengasaskan kaedah perubatan yang dibahagikan kepada tiga cara; iaitu pertama melalui ubat-ubatan fizikal, kedua melalui ubat-ubatan metafizikal dan yang ketiga melalui gabungan kedua-dua unsur fizikal dan metafizikal. Ubat-ubatan fizikal ialah seperti perubatan moden yang menggunakan ubat, pembedahan, peralatan maupun penawar seperti madu, air zamzam, manakala ubat-ubatan metafizikal pula ialah bacaan-bacaan ayat suci Al-Qur’an, doa, zikir dan ru’yah atau jampi  yang dibenarkan Syara’.
Allah swt berfirman dalam Surah Al Israa’ ayat 82 :
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا ﴿٨٢﴾
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua
Ibnu Abbas meriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  :
 الشِّفَاءُ في ثلاثَةٍ: شَرْبَةِ عَسَلٍ، وشَرْطَةِ مِحْجَمٍ، وكَيَّةِ نارٍ، وأنْهَى أُمّتِي عَنِ الكَيِّ
Kesembuhan itu boleh dicapai melalui 3 kaedah; meminum madu, berbekam dan bakaran api. Dan aku larang umatku menggunakan bakaran api (kerana belum diketahui teknologinya ketika itu).  Hadis Sohih riwayat Imam Al-Bukhari
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sejajar dengan perkembangan Islam yang semakin meningkat, umat Islam semakin menjauhi bomoh dan mula mencari perawat yang mematuhi kehendak Syara’. Namun, kekeliruan sering terjadi akibat penampilan dan penggunaan ayat-ayat al-Quran oleh bomoh-bomoh bagi menunjukkan mereka juga menggunakan kaedah Islam. Bomoh juga sudah mula selesa dipanggil ustaz walaupun hakikatnya masih menggunakan kaedah yang berlawanan dengan syara’.
Sesungguhnya amalan perbomohan yang bercanggah dengan syariat Islam boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah Subhanahu Wata’ala. Ia adalah satu dosa yang amat besar yang tidak diampuni, sebagaimana firman Allah swt dalam Surah An Nisaa’ ayat 116:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَ‌ٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا ﴿١١٦﴾  
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukumnya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa jua, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” 
Sidang Jumaat sekalian,
Bagi mengelakkan kekeliruan tersebut, Jabatan Agama Islam Perak telahpun mengeluarkan garis panduan yang lengkap menjelaskan ciri-ciri rawatan, perawat dan kaedah rawatan yang dibenarkan syara’. Antara yang boleh dijadikan panduan ringkas adalah ;
1.     Perawat
a.     Perawat mestilah beragama Islam dan  sempurna akal.
b.     Perawat hendaklah mempunyai akhlak yang mulia sesuai dengan ajaran Islam seperti amanah, bersih dan warak.
c.      Perawat hendaklah menyebut segala pergantungan hanya kepada Allah bukan selainNya.
d.     Perawat menjaga batasan sentuhan dan pergaulan sesuai dengan kehendak syariat.
e.      Perawat tidak boleh melakukan sesuatu yang bercanggah dengan syara’ walau apa sahaja alasan.

2.     Bahan rawatan.
a.     Bahan rawatan hendaklah halal dan suci dari unsur najis dan unsur syirik kepada Allah.
b.     Semua bahan boleh digunakan sehingga ada dalil yang mengharamkannya.
c.      Apa jua bahan yang dijadikan perantara bagi tujuan pemujaan dan sihir tidak dibenarkan.
d.     Percampuran di antara bahan yang halal dengan bahan haram adalah tidak dibenarkan seperti ayat al Quran yang ditulis secara mengelirukan dan dijadikan tangkal azimat.
e.      Bahan yang didakwa diambil dari alam ghaib tidak dibenarkan.
f.       Penggunaan binatang hidup mahupun yang telah mati bagi tujuan pemujaan dan sihir tidak dibenarkan.

3.     Tempat rawatan
a.     Tempat rawatan hendaklah bebas daripada unsur-unsur syirik, maksiat dan menimbulkan fitnah .
b.     Hendaklah memisahkan ketika merawat lelaki dan wanita yang bukan mahram
4.     Kaedah rawatan
a.     Kaedah rawatan yang sabit dan selaras dengan al-Quran dan Hadis-hadis yang sahih adalah boleh diguna pakai.
b.     Ruqyah hendaklah menggunakan ayat-ayat al Quran, Hadis Nabi, doa atau Zikir.
c.      Ruqyah dengan jampi juga dibenarkan setakat yang tidak berlawanan dengan syara’.
d.     Diharuskan membacakan ruqyah pada air untuk diminum, sapu, renjis dan mandi.
e.      Tidak dibenarkan menggunakan atau meminta pertolongan daripada syaitan dan jin dengan melakukan perbuatan menurun dan menyemah.
f.       Tidak dibenarkan melakukan bedah batin.
g.     Tidak dibenarkan melakukan sebarang kaedah yang meragukan dan menghina kesucian Islam serta menghina agama-agama lain.
h.     Tidak dibenarkan menggunakan al-Quran secara tidak wajar dan menyalahgunakan ayat al-Quran dalam perawatan.
i.       Tidak dibenarkan menggunakan kaedah tilik dan ramalan.
  
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
  Perbomohan adalah cara yang mudah untuk menyesatkan manusia dan mudah mempengaruhi golongan yang sangat fanatik sehingga tidak perlu lagi kepada perubatan moden, walhal perbuatan mengenepikan semua ubat-ubatan fizikal adalah bercanggah dengan ajaran Islam.
Apa yang mendukacitakan, masih terdapat di kalangan kita khususnya masyarakat Islam, apabila menghadapi sesuatu masalah atau sesuatu penyakit ganjil akan pergi berjumpa bomoh yang kononnya boleh merawat penyakit berkenaan dengan cara jampi-jampian. Amalan perbomohan dianggap dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan seperti merawat penyakit, mendapatkan barang hilang, inginkan pangkat dan kedudukan, digeruni dan nampak hebat, nampak cantik, ilmu menunduk isteri atau suami, ilmu pendinding, ilmu kebal, ilmu pembenci, ilmu pengasih untuk mencari jodoh, mendapatkan nombor bertuah dan bermacam-macam lagi. Kesemua ini merupakan perbuatan yang dilarang yang boleh menyebabkan syirik yang tidak diampuni oleh Allah swt. Sabda Rasulullah saw :
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ سَاحِرًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم
Barangsiapa mendatangi tukang tilik atau ahli sihir dan mempercayai kata-katanya maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW. (Riwayat al Bazzar)
  
Perbuatan-perbuatan syirik itu termasuklah mempercayai adanya kuasa tertentu di dalam tangkal, wafak, azimat, keris, parang, batu, cincin, kayu dan sebagainya yang digunakan atau dipakai untuk menolak bala bencana atau untuk menyembuhkan sebarang penyakit. Sabda Rasulullah SAW dalam menolak penggunaan tangkal ini dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh ‛Uqbah bin ‘Amr:  
مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيْمَةً فَلاَ أَتِمَّ اللهُ لَهُ وَمَنْ تَعَلَّقَ وَدْعَةً فَلاَ وَدَّعَ اللهُ لَهُ
Sesiapa yang menggantung tangkal. Allah tidak akan menyempurnakannya dan sesiapa yang menggantung wad‛ah, tidak ada perlindungan baginya.(riwayat Imam Ahmad).

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ.

خطبة كدوا

اَلْحَمْدُ ِللهِ  الْقاَئِلِ :


هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ ﴿٢٢١﴾ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ ﴿٢٢٢﴾ يُلْقُونَ السَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَاذِبُونَ ﴿٢٢٣﴾
“Mahukah Aku khabarkan kepada kamu kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu, sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”- Surah Asy-Syuaara’ ayat 221-223.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,
Terdapat juga dakwaan bahawa tubuh bomoh itu boleh dimasuki oleh malaikat, roh orang yang mati dan orang bunian ketika menjalankan perubatan. Apa yang berlaku sebenarnya, jin dan syaitanlah yang masuk ke dalam tubuhnya. Jin dan syaitan inilah yang menyampaikan maklumat kepada bomoh tersebut untuk menyatakan perkara-perkara ghaib, sama ada perkara yang akan berlaku atau perkara yang telah berlaku. Semua ini adalah dusta semata-mata yang bertujuan untuk mengadu domba dan memecahbelahkan masyarakat .
  Perkara yang paling utama di dalam kehidupan beragama adalah menjaga aqidah. Oleh itu umat Islam wajib sentiasa menghindari diri dari terpedaya dan terjerumus ke dalam penyelewengan aqidah melalui perkhidmatan perbomohan. Di antara usaha yang berkesan yang dianjurkan di dalam Islam ketika sakit ialah mendapatkan rawatan daripada doktor atau perawat yang bertepatan dengan ajaran Islam, di samping memperbanyakkan doa dan zikir serta beristighfar kepada Allah swt.
Oleh itu, sama-samalah kita berdoa semoga kita sentiasa terpelihara dari apa jua anasir-anasir yang boleh menyelewengkan aqidah kita dan semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan hidayat daripada Allah swt. Amin ya Rabbal’alamin.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ 


*AMARAN!!!

Pihak Jabatan Agama Islam Perak tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan

No comments: