20 March 2014

Penganalisis percaya MH370 telah selamat mendarat

18 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penganalisis jenayah percaya tiada unsur bunuh diri dalam misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan pesawat itu selamat mendarat di suatu kawasan yang tidak diketahui lokasinya.
    
Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini, sesiapa jua yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri.
   
Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya membuat perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan.
    
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pesawat Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu.
    
"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini, namun saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat berkenaan," katanya kepada Bernama.      
    
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
    
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.
    
Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
    
Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki sama ada koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
    
Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan membabitkan 26 negara antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.
    
Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur, dalam bidang Antropologi sejak 2009.
    
Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun, beliau yang kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu melibatkan keselamatan dan kepenggunaan. -Bernama

No comments: