27 April 2014

Hudud : PAS Kelantan adakan solat hajat.

28 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -

KOTA BHARU:Ribuan rakyat Kelantan dengan didukungi ulama dijangka menyertai program solat hajat dan munajat bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dapat dilaksanakan di negeri ini.

Selain golongan ulama, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) juga akan tampil memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri di majlis berkenaan, diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV pada malam 30 April ini.

Program bermula solat Isya, solat hajat dan munajat antara lain disertai Persatuan Peguam Muslim Kelantan, Pusat  Pembangunan Pondok, institusi pengajian pondok, Dakwah Halaqat, Abim, guru-guru agama,  Dewan Himpunan Penyokong PAS, wakil-wakil NGO bukan Islam dan pelbagai lagi.

Dewan Ulamak PAS Kelantan dan wakil-wakil  NGO akan melafazkan ikrar sokongan dan menyerah memorandum mendukung pelaksanaan enakmen tersebut kepada Menteri Besar.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood berkata, pada program terbabit Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob bersama anggota-anggota Exco kerajaan negeri akan memberi penjelasan mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

Katanya, program tersebut merupakan agenda sulung penerangan secara terbuka mengenai perundangan syariah  sebelum usul itu dibawa pada persidangan parlimen untuk membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan.

“Masyarakat bukan Islam juga dipelawa menyertai program berkenaan bagi membolehkan mereka mendapat maklumat lebih jelas mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

“Dan selepas program tersebut Dewan Ulamak juga akan menganjurkan program jalinan mesra bersama pemimpin-pemimpin masyarakat bukan Islam di seluruh Kelantan bagi menjelaskan mengenai perundangan syariah,” katanya di sini.

Beliau yang juga Adun Tawang berkata, Dewan Ulamak PAS bersama NGO-NGO yang hadir akan membentuk persemuafakatan NGO bagi  mendukung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Menurutnya juga program-program penerangan seperti itu bukan perkara baru di Kelantan, sebaliknya sudah dilaksanakan sejak 1992 dan sekarang terus dipertingkatkan lagi. - HARAKAHDAILY 27/4/2014  

No comments: