24 Mei 2014

Kementerian kaji semula penggunaan cermin gelap kenderaan

24 Rejab 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan, kata pemangku menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  
Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata bahawa MOT sedia maklum mengenai pandangan dan maklum balas rakyat yang beranggapan peraturan dan undang-undang berhubung penggunaan cermin gelap ketinggalan zaman.
  
"Susulan daripada pandangan dan maklum balas ini, saya ingin memaklumkan kementerian sedia mengkaji dan meminda semula peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan.

"Saya telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
  
Pada masa kini, Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000, menetapkan cermin cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70 peratus, manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang daripada 50 peratus.

Mereka yang melanggar peraturan ini boleh didenda RM500 atau penjara tidak melebihi dua minggu bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan seterusnya boleh didenda RM1,000 atau penjara maksimum sebulan.
  
Menerangkan lebih lanjut mengenai bengkel khas itu, Hishammuddin berkata, ia telah dijadualkan pada 2 dan 3 Jun ini, bertempat di Hotel Holiday Inn Glenmarie Shah Alam, dan akan dibahagikan kepada lima sesi.
  
"Antara pengisian bengkel ini ialah melihat kembali standard ketelusan cahaya cermin gelap kenderaan berdasarkan peraturan antarabangsa sedia ada seperti 'United Nation Vehicle Regulation R43 (Safety Glassing)'.
  
Bengkel ini juga akan memperhalusi usaha memastikan pengguna dapat diupayakan dari segi maklumat dan kefahaman mengenai penggunaan cermin gelap," kata Hishammuddin.
  
Bengkel pertama dipengerusikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membincangkan peraturan sedia ada, bengkel kedua oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi mengkaji amalan penggunaan cermin gelap oleh negara-negara luar, manakala bengkel ketiga oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengkaji peraturan cerman gelap dari perspektif keselamatan dan jenayah.
  
Bengkel keempat pula akan dipengerusikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membincangkan penguatkuasaan dan kawal selia penjualan cermin gelap di premis aksesori kenderaan dan yang terakhir oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membincangkan pengimportan kereta bercermin gelap dengan permit import (AP). - Bernama

Tiada ulasan: