30 June 2014

Saifuddin letak jawatan, protes penyingkiran Prof Redzuan

2 Ramadhan 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bagi menunjukkan solidariti dan simpati terhadap tindakan pentadbir Universiti Malaya 'menyingkirkan' Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) hari ini.

Pengumuman itu dibuat Saifuddin (gambar, kanan) di laman facebook beliau sebentar tadi.

Berita mengenai perletakan jawatan Dr Mohamad Redzuan disiarkan The Malaysian Insider (TMI) pagi tadi yang mendakwa tindakan UM itu dibuat atas tekanan pihak Kementerian Pelajaran ekoran rasa tidak puas hati Putrajaya terhadap beberapa tinjauan politik yang dijalankan UMCEDEL.

Berita mengenai penyingkiran Dr Redzuan diketahui apabila UM mengeluarkan senarai dekan baru universiti Khamis lalu dan nama Redzuan tiada dalam senarai itu.

Saifuddin dalam entrinya di laman facebook mengakui mengetahui berhubung perkara tersebut setelah dimaklumkan sendiri oleh Dr Redzuan.

"Prof Datuk Dr Redzuan Othman adalah Pengarah-Pengasas UMCEDEL & Dekan FSSS UM. Oleh kerana arahan daripada pihak tertentu d KPM, baru-baru ini beliau diarah meletak jawatan sebagai Pengarah UMCEDEL.

"Tapi beliau tidak menghebohkan cerita ini. Hari ini, beliau tidak disambung sebagai Dekan (walaupun dicalon oleh pensyarah-pensyarah FSSS). Cerita ini disiarkan The Malaysian Insider hari ini.

"Saya tahu akan cerita ini sejak awal (melalui beliau dan VC UM). Prof Redzuan terima kedua-dua keputusan ini dengan berapang dada. Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti dengan beliau, saya meletak jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) hari ini," tulisan beliau dipetik.

Sumber memberitahu TMI, tindakan menyingkirkan Dr Redzuan dibuat atas alasan beliau akan bersara tahun depan.

Menurut sumber, penyingkiran Dr Redzuan juga dibuat atas tekanan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Zaini Ujang, rakan beliau ketika aktif di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). - HARAKAHDAILY

No comments: