12 June 2014

Salahuddin, Dr Syed Azman bakal iringi Presiden pulang

14 Sya'aban 1435. [MOD] -

ISTANBUL:Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersama Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad kini berada di istanbul menziarahi Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ustaz Abdul Hadi kini semakin pulih dan dinasihati berehat oleh doktor sementara menunggu urusan kepulangan ke tanah air di waktu yang terdekat.

Salahuddin memaklumkan bahawa Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Dr Syed Azman kini sedang menguruskan urusan perjalanan pulang Ustaz Abdul Hadi ke tanah air.

Sementara itu Presiden PAS terus di kunjungi pelbagai pihak termasuk wakil Kerajaan Turki dan gerakan Islam Timur Tengah yang amat prihatin terhadap kesihatan beliau.

Salahuddin bagi pihak PAS merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik yang tidak henti-henti mendokan kesihatan Ustaz Abdul Hadi.
"Begitu juga dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Istanbul yang sentiasa prihatin terhadap kesihatan Presiden PAS," ujar beliau.

Salahuddin juga menyeru ahli dan penyokong PAS agar sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Tuan Guru Presiden agar selamat pulang ke tanah air.

Ustaz Abdul Hadi sebelum ini menerima rawatan di Hospital Medipol Universite Hastanesi, dekat sini selama seminggu akibat komplikasi jantung dan  paru-paru berair.

Beliau dibenarkan keluar wad 7 Jun lalu.

Tuan Guru Presiden berada di Istanbul kerana menghadiri Kongres Umat Islam Antarabangsa anjuran Pusat Penyelidikan Ekonomi (ESAM).

Doktor menasihatkan beliau berehat sebelum pulang ke Malaysia. - HARAKAHDAILY

No comments: