24 June 2014

Ustaz Fadzil Noor dalam kenangan

26 Sya'aban 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY | .
PADA hari ini, 23 Jun 2014, genaplah 12 tahun pemergian Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Pemergiannya sewaktu memegang jawatan sebagai Ketua pembangkang di Parlimen sudah tentu memberi kesan kepada perjuangan PAS dalam politik tanah air, khususnya bagi mereka yang aktif dalam gerakan Islam dan dakwah.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.

Moyangnya Tuan Guru Haji Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang ulama terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.

Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga pada tahun 1946 hingga 1949. Pada tahun 1949 beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar sehingga 1958 dan peringkat tinggi bermula 1958 hingga 1962.

Setelah tamat pengajiannya di Maktab Mahmud, Ustaz Fadzil Noor menjadi guru di Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah. Kemudian beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.

Pada tahun 1962, Ustaz Fadzil Noor melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Sekembalinya dari Mesir pada tahun 1967, Ustaz Fadzil Noor menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Bakat kepimpinan Ustaz Fadzil Noor terserlah apabila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud.

Ketika di Mesir, Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha dan akhirnya sebagai timbalan presiden.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah.

Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974.

Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Ustaz Fadzil Noor mula terlibat dengan PAS pada tahun 1959 ketika masih menuntut di Maktab Mahmud. Beliau membantu calon-calon PAS dalam pilihan raya tahun tersebut.

Ustaz Fadzil Noor juga dalam kempen tersebut sering mengikuti ceramah-ceramah Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad.

Ustaz Fadzil Noor seterusnya dilantik menjadi YDP PAS Kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan Negeri PAS Kedah.

Jawatan tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor ketika bersama PAS adalah; Naib Yang Dipertua (1979-1983), Timbalan Yang Dipertua (1983-1989), dan Presiden PAS (1989-2002).

Ustaz Fadzil Noor mula menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989. Nama jawatan Yang Dipertua PAS ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.

Dalam perjuangan menegakkan kebenaran, Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis.

Pada penghujung tahun 1970-an, ketika sedang berucap dalam majlis ceramah di Kampung Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram. Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib.

Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya dengan memberi peringatan kepada pihak polis tentang sebuah hadith Nabi SAW.

Sepasukan polis terus menyerbu dan menahan Ustaz Fadzil Noor beserta para penceramah lain.

Mereka terus dibawa ke balai di bandar Kuala Terengganu malam itu juga. Bermalamlah Ustaz Fadzil Noor di lokap pada malam itu.

Lewat malam itu juga Pemuda PAS memobilisasi sokongan dan menjelang subuh kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu.

Mereka mendesak pemimpin-pemimpin mereka dibebaskan segera.

Perundingan antara beberapa orang wakil PAS dengan pihak polis diadakan. Hasilnya, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin-pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Sekali lagi Ustaz Fadzil Noor ditahan oleh pihak polis adalah dalam ceramah di Jerlun, Kedah. Peristiwa ini berlaku ketika kes Muassasah Darul Ulum menjadi isu panas di antara PAS dengan Umno di Kedah.

Ustaz Fadzil Noor ditahan semasa berceramah. Beliau ditahan bersama Haji Shaari, YDP PAS Kawasan Jerlun dan dikenakan ikat jamin. Kesnya terus dibawa ke mahkamah.

Walau bagaimanapun kes ini digugurkan berikutan kematian Haji Shaari.

Dalam perjuangan bersama-sama PAS, terutamanya sejak era peralihan kepimpinan, Ustaz Fadzil Noor sentiasa berseiringan jalan dengan Tuan Guru Yusof Rawa.

Selepas pilihan raya tahun 1978 lagi, ketika Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama, Ustaz Fadzil Noor menjadi Naib Yang Dipertua kedua.

Semasa Tuan Guru Yusof Rawa berjaya memenangi jawatan Timbalan yang Dipertua parti dalam tahun 1981, Ustaz Fadzil Noor pula menduduki jawatan Naib Yang Dipertua pertama.

Apabila Majlis Syura Ulama diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Ustaz Fadzil Noor bersama-sama Tuan Guru Yusof Rawa mewakili Jawatankuasa PAS Pusat untuk duduk dalam Majlis Syura Ulama.

Ketika Tuan Guru Yusof Rawa dipilih menjadi Mursyidul Am yang pertama, bebanan tugas Yang Dipertua telah dilaksanakan sebahagiannya oleh Ustaz Fadzil Noor.

Demikian juga semasa Tuan Guru Yusof Rawa uzur menjelang saat-saat akhir beliau memegang jawatan Yang Dipertua, maka Ustaz Fadzil Noor merupakan orang yang menjalankan tugas-tugas teraju utama parti.

Ustaz Fadzil Noor juga menjadi pembantu utama semasa Tuan Guru Yusof Rawa merintas konsep kepimpinan ulama dan mengukuhkan asas-asas harakah Islamiyyah dalam PAS.

Di bawah kepimpinannya, Ustaz Fadzil Noor menekankan agar golongan ulama hendaklah sentiasa berusaha untuk melayakkan diri menjadi pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya institusi ulama mesti disokong dan didaulatkan.

Sejak kepimpinan ulama diketengahkan, PAS berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Setelah menjadi Presiden, Ustaz Fadzil Noor menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.

Pada tahun 1990, beliau melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada 500,000 orang dalam tempoh lima tahun. Sasaran ini adalah sebelum pilihan raya tahun 1995.

Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah mencecah 400,000. Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya, namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.

Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim.

Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.

Ustaz Fadzil Noor meneruskan tradisi perjuangan mengekalkan perpaduan demi menjaga kemaslahatan Islam dan negara yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin awal PAS. Beliau mengikuti jejak langkah Dr Burhanuddin Helmy meneruskan konsep tahaluf siyasi.

Berbekalkan tradisi tahaluf siyasi seperti inilah yang mendorong Ustaz Fadzil Noor mewujudkan pakatan dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Kemudiannya dengan Parti Keadilan Rakyat.

Pada hari ini, hasil yang disemai sejak era kepimpinan ulama yang dirintis oleh beliau dan Tuan Guru Yusuf Rawa makin menampakkan hasil.

Justeru, kehadirannya dan gaya kepimpinannya banyak mengubah persepsi masyarakat Malaysia tentang perjuangan Islam dan PAS. Tanggal 23 Jun 2002, bukanlah penamat bagi perjuangan beliau, kerana hari ini ribuan yang telah lahir hasil tarbiah dan didikan beliau dan generasi yang sezaman dengannya

No comments: