23 June 2014

Jenazah Ust. Abu Bakar di sembahyang selepas Asar

25 Sya'aban 1435. [MOD] -




KUALA LUMPUR: Solat jenazah Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik dijadual diadakan di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring selepas Asar hari ini.

Ketika ini jenazah telah dibawa pulang ke kediaman beliau bersebelahan MTT untuk diziarahi oleh ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut beliau, Allahyarham Ustaz Abu Bakar adalah tokoh PAS dan pemimpin masyarakat yang terlalu banyak jasanya kepada parti di peringkat negeri maupun peringkat pusat yang telah bergelumang seluruh hidupnya demi agama Islam dan perjuangannya sehingga penghujung hayat beliau.

"Tarikh kembalinya beliau kerahmatullah sama dengan tarikh pemergiaan bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor, 12 tahun yang lalu.

"Semoga keluarga beliau tabah dalam mghadapi ujian berat ini dan semoga roh beliau di tempatkan bersama roh para mujahid dan para syuhada insyaAllah," kata beliau.

Datuk Abu Bakar Chik meninggal dunia awal pagi ini selepas kereta yang dinaiki bersama pembantunya Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil.

Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu manakala Hasmizi yang memandu kereta Toyata jenis Camry tersebut cedera.

Menurut maklumat, kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.

Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar. -HARAKAHDAILY 23/6/2014

No comments: