Walaupun ucapan pada masa kini lebih mudah dilakukan secara digital, keseronokan membuka sampul surat dan membaca setiap kata yang dicoret pengirim jauh lebih bermakna.
Pada hari ini, kad raya boleh didapati dengan pelbagai corak dan reka bentuk.
Untuk mereka yang inginkan kad raya khas, Mouth & Foot Painting Artists Sdn. Bhd (MFPA) menyediakan tempahan kad sempena perayaan ini dengan harga berpatutan.
Kad tersebut dilukis oleh pelukis-pelukis mulut dan kaki yang hilang keupayaan disebabkan penyakit, kemalangan atau kecacatan sejak lahir.
"Kami melukis atau menulis dengan memegang berus dan pen di dalam mulut atau diantara jari-jari kaki kami untuk mencari nafkah," kata salah seorang ahli MFPA, Siti Aishah Yaacob.
Siti Aishah yang mengalami kecacatan pada kedua-dua belah tangan sejak dilahirkan, melukis dan mewarna menggunakan jari-jari kakinya.
Beliau berkata, persatuan tersebut menguruskan penjualan lukisan mereka dalam bentuk yang dihasilkan semula sebagai kad perayaan.
"Sememangnya sukar untuk mencari kaedah penjualan yang memuaskan semua orang. Namun kaedah ini membolehkan kami menerangkan latar belakang kisah kad-kad yang dihasilkan daripada lukisan asal yang memerlukan usaha gigih secara fizikal, keazaman dan kesabaran," katanya.
Set kad Raya, hasil lukisan pelukis-pelukis istimewa ini berharga RM36 untuk 8 keping kad.
Selain itu, MFPA turut menawarkan tempahan poster, diari tahunan, kertas pembalut hadiah, kalendar 2015, notelets dan jigsaw puzzles kanak-kanak.
Bagi anda yang ingin membuat tempahan sila hubungi 03-2161 8860, 03-2161 8502 atau e-mel ke mfpa.malaysia@gmail.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan