14 August 2014

Kemelut Selangor: Jangan terpedaya laporan Harakah palsu

18 Syawal 1435. [MOD] -

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan laporan dan berita yang menggunakan nama Harakah berhubung kemelut yang melanda negeri Selangor kini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut menjadi mangsa laporan palsu itu kononnya beliau telah menerima borang permohonan keahlian parti daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


"Contoh laporan guna nama Harakah yang tidak betul itu ialah kononnya saya telah menerima borang permohonan menjadi ahli PAS daripada Tan Sri Khalid. Ini memang tidak betul dan sangat mengelirukan orang ramai," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Menurutnya, ekoran tersebarnya laporan Harakah palsu itu melalui media sosial, beliau telah dihubungi oleh pihak media untuk mengulas berita yang tidak betul itu.

"Saya tegaskan di sini bahawa laporan berkenaan bukan daripada Harakah, adalah tidak benar sama sekali yang menggunakan nama Harakah termasuk berita-berita kononnya daripada pemimpin tertinggi PAS yang lain," tegasnya yang juga Pengerusi Harakah.

Justeru, beliau mengingatkan ahli-ahli dan pendukung PAS agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan laporan palsu yang mengelirukan itu. - 

No comments: