24 September 2014

iPhone 6, 6 Plus catat rekod jualan 10 juta unit dalam tiga hari - Apple

29 Zulkaedah 1435 . [MOD] -


KAKITANGAN jualan Apple menyusun model iPhone 6 Plus yang sudah ditempah pelanggan di New York, baru-baru ini. - Foto AP
WASHINGTON: Apple memecah rekod jualan bagi pelancaran model iPhone terbaharunya minggu lalu dengan mencatat 10 juta unit dalam masa tiga hari dan jumlahnya lebih banyak sekiranya mempunyai jumlah pengeluaran yang mencukupi.

"Jualan untuk iPhone 6 dan iPhone 6 Plus melebihi luar jangkaan bagi tempoh seminggu pelancarannya dan ini tidak menyenangkan kami," kata Ketua Eksekutifnya, Tim Cook hari ini.
"Kami sepatutnya jual lebih banyak lagi iPhones sekiranya pengeluaran lebih hebat dan kami berusaha keras untuk memenuhi permintaan seberapa cepat yang boleh," katanya.
Pembukaan jualan bagi edisi iPhones berskrin lebih besar menyaksikan Apple memecah rekod jualan sembilan juta yang dicatat tahun lalu apabila iPhone 5S dan 5C dilancarkan.
Model baharu berkenaan dilancarkan Jumaat lalu di Amerika Syarikat, Britain, Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Puerto Rico dan Singapura.
Mulai 26 September ini, model iPhone terharu itu akan memasuki pasaran lebih 20 lagi negara manakala 115 negara lagi penghujung tahun ini.
Reaksi positif pasaran terhadap keluaran terbaharu iPhone itu menyaksikan penganalisis berkata, Apple kini mempunyai lonjakan pasaran dengan keluaran berkenaan.
Saham Apple melonjak 0.15 peratus semalam untuk ditutup AS$101.11 sesaham.
Pelancaran model terbaharu itu menyaksikan orang ramai beratur panjang di luar kedai Apple di Tokyo, Hong Kong, Paris dan New York.
Kedua-dua edisi terbaharu iPhones itu mempunyai saiz skin yang lebih besar dengan Apple memperkenalkan trend "phablet" untuk pesaing rapatnya dari Samsung, yang berjaya dengan siri Galaxy Note.
iPhone 6 mempunyai skrin 4.7 inci manakala 6 Plus 5.5 inci.
Pesaing utamanya, Samsung yang popular di Asia dijadual akan melancarkan Galaxy Note 4 terbaharunya dalam masa terdekat.
Apple berkata, pihaknya menerima tempahan lebih empat juta unit iPhone terbaharunya itu dalam tempoh 24 jam sebaik jualan dibuka. - AFP

Tiada ulasan: