24 September 2014

Senarai exco: PAS S'gor serah kepada Pusat secepat mungkin

29 Zulkaedah 1435 . [MOD] -



KUALA LUMPUR: PAS Selangor akan bermesyuarat malam ini bagi menentukan nama-nama Adun yang akan disenaraikan sebagai exco kerajaan negeri untuk diserahkan kepada PAS Pusat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, nama-nama itu akan diserahkan kepada PAS Pusat segera mungkin untuk mendapatkan kelulusan daripada pucuk pimpinan parti.

"Nama-nama exco secara verbal sudah dimaklumkan kepada PAS Pusat, tetapi secara rasmi belum lagi. Kita akan mesyuarat perhubungan malam ini, dan akan serah nama secepat mungkin," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, peletakkan jawatan empat Exco daripada PAS semalam berlaku secara automatik apabila Tan Sri Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

"Kita tidak perlu buat surat letak jawatan, sudah jadi amalan MB letak jawatan exco pun automatik letak jawatan," katanya.

Menteri besar, Mohamed Azmin Ali akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah esok untuk memaklumkan barisan Exco Selangor yang baharu sebelum Majlis Angkat Sumpah pada Jumaat ini.
Empat Exco daripada PAS sebelum ini ialah Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi (Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam), Adun Sabak, Sallehen Mukhyi (Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan Desa) dan Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali (Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan).-HARAKAHDAILY 24/9/2014

Tiada ulasan: