13 September 2014

PRK DUN Pengkalan Kubor pertandingan tiga penjuru

18 Zulkaedah 1435 . [MOD] -


CALON-CALON yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Pengkalan Kubor di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat. Pertandingan tiga penjuru membabitkan Calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ali (kanan),calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim (tengah) dan Calon Bebas, Izat Bukhary pada PRK DUN N.01 Pengkalan Kubor pada 25 Septermber ini. - Foto Khairul Azry
PENGKALAN KUBOR: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pengumuman rasmi calon yang bertanding itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Sobri Ramli di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, di sini, sebentar tadi.
Mohd Sobri berkata, Wan Ibrahim menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.05 pagi disusuli Mat Razi seminit minit kemudian, sementara Izat Bukhary pada jam 9.13 pagi.
"Selepas meneliti borang pencalonan calon berkenaan, SPR berpuas hati tiada calon yang ditolak pencalonannya," katanya.
Turut hadir memberikan sokongan kepada calon BN ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Hadir sama, rakan komponen BN termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya, Datuk Wee Ka Siong serta Pengerusi PPP, Tan Sri M Kaveas.
Terdahulu, Muhyiddin bersama kira-kira 500 penyokong serta pemimpin BN berarak bersama Mat Razi memasuki pekarangan pusat penamaan calon itu.
Sementara itu, pemimpin PAS yang hadir memberi sokongan kepada calon mereka ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalannya, Mohamad Sabu; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub; dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PKR, Samsul Iskandar Mohd Akin dan Tian Chua; Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar serta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad, turut sama hadir.
Izat Bukhary, 47, adalah bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lalu bagi DUN Pengkalan Kubor.
Seramai 200 anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan ditempatkan di sekitar kawasan penamaan itu untuk memastikan kelancaran proses berkenaan.
Tiada sebarang kekasaran serta provokasi melampau timbul membabitkan penyokong kedua-dua parti.
PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, pada 20 Ogos lalu, akibat kanser hati.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lalu, Noor Zahidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 1,736 undi selepas memperoleh undi sebanyak 10,174 mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim (8,438 undi) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (65 undi).
Berdasarkan senarai daftar pemilih terkini dikeluarkan SPR, seramai 24,039 pengundi layak mengundi pada PRK kali ini iaitu terdiri daripada 23, 929 pemilih biasa, 109 pemilih awal (undi awal) serta seorang pengundi tidak hadir (undi pos).
DUN Pengkalan Kubor mengandungi 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang merangkumi keseluruhannya 46 saluran tempat mengundi.
SPR sebelum ini menganggarkan kos belanjawan keseluruhan bagi perjalanan PRK berkenaan berjumlah RM696,750. 
BH/-

No comments: