11 RabiulAwwal 1437 [MOD] -
PAS Kawasan Kuala Kangsar melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa PAS
kurang pengaruh di Sarawak. Kenyataan tersebut sangat mengguris hati
ahli PAS khususnya di Sarawak yang telah bertungkus-lumus menjalankan
gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila
masa.
Bagi kami, kenyataan tersebut seolah-olah mahu memberi
gambaran bahawa PAS tidak akan diberi peluang meletakkan calon mewakili
kerjasama politik PAS dan PKR. Sedangkan, PAS telah pun membuat
persiapan rapi dan telah mengenalpasti kawasan sasaran yang akan
diberikan fokus.
Sebagai rakan kerjasama, PKR sepatutnya
menghormati PAS dan berusaha memperjuangkan hak PAS khususnya dalam
konteks PRN Sarawak. Kenyataan yang dikeluarkan Wan Azizah selaku ketua
pembangkang lebih mementingkan survival politik Pakatan Harapan
berbanding PAS.
Ini membuktikan PKR tidak ikhlas untuk
menjalinkan tahaluf siyasi dengan PAS sebaliknya parti itu seolah-olah
memperalatkan PAS demi kepentingan mereka dan kedudukan mereka di dalam
Kerajaan Negeri Selangor. Kami berpandangan, PKR hanya cuba meraih
sokongan penyokong PAS kerana mereka tahu sokongan minoriti pakatan baru
mereka belum mampu memastikan kedudukan pembangkang dalam persada
politik tanah air.
Justeru, kami mengharapkan agar PAS Sarawak
tidak tunduk dengan desakan angkuh PKR sebaliknya terus fokus untuk
menghadapi pilihan raya di Sarawak. Kami menyarankan agar PAS meletakkan
lebih banyak calon pada kali ini khususnya majoriti melayu Islam dan
bersedia untuk mengambil alih kerusi kerusi yang ditandingi PKR yang
dilihat tidak mampu membawa suara pengundi Melayu dan bumiputra Islam.
Kami
juga menyarankan agar pimpinan PAS Pusat dan Sarawak membuat ketetapan,
sama ada menghadapi PRN Sarawak atas nama Pakatan Rakyat atau PAS akan
bersendirian. Jika PKR mahu menghadapi PRN Sarawak melalui platform
Pakatan Harapan, maka PKR tidak perlu untuk bergerak menghadapi BN
bersama PAS!
"Beristiqamah Hingga Kemenangan"
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Yang Dipertua,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Kawasan Kuala Kangsar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan