PAS mengajak ke arah membina sebuah negara yang sejahtera dengan Islam. Semua bangsa dan agama akan diraikan dan dilindungi di bawah sistem Islam. Sebagaimana kita menerima hakikat bahawa wujudnya kepelbagaian bangsa adalah ciptaan Allah kepada mahkluknya, begitulah juga kita menerima hakikat bahawa manusia ada pelbagai pegangan dan kepercayaan agama. Menghormati kepercayaan orang lain adalah perintah agama dan dalam masa yang sama kebenaran Islam mesti disampaikan kepada seluruh manusia. Tetapi tiada paksaan sesiapa pun untuk memeluk Islam.
Insiden kes pukul di masjid yang baru berlaku hanya sekadar kes terpencil yang tak perlu diapi-apikan sehingga nyalaannya marak membakar sentimen perkauman dan keagamaan. Tiada siapa yang akan untung akhirnya.
Ianya boleh diselesaikan secara damai dengan melihat kepada punca kejadian tanpa diseret dengan emosi dan luapan kepanasan yang tak perlu.
Mungkin laluan kereta Camry itu terhalang. Tapi bertindak membunyikan hon secara tak wajar boleh ditafsirkan orang bahawa pemandu kereta sengaja menimbulkan provokasi yang tak perlu. Tambahan pula di situ tempat ibadat. Kalau ada pemandu Islam yang membunyikan hon bertalu-talu depan gereja pun tetap tak wajar sama sekali.
Kalau pemandu Camry tersebut memang tinggal berdekatan dengan masjid yang berkenaan, tentu dia sedia maklum, orang Islam bila sedang solat, kamu tekan hon macam mana sekalipun, orang tak akan berhenti solat sehinggalah selesai. Lantas perbuatan tekan hon berkali-kali memang ada unsur provokasi dan gangguan yang tak wajar. Apatah lagi bila disusuli dengan kata-kata yang tak manis terhadap para jemaah. Seseorang perlu menasihatinya supaya lebih bertolak ansur dan belajar menghormati agama orang lain.
Sangat baik kalau dapat diadakan pertemuan susulan antara pihak masjid dan pemandu Camry tersebut. Saya yakin segalanya akan dapat diselesaikan dengan cara yang paling harmoni. Ada sikit sebanyak salah faham, boleh sama-sama berlapang dada demi keharmonian dalam masyarakat. Tak ada siapa yang untung andai hidup saling membenci.
Islam tak pernah anti dengan mana-mana kaum kerana kita semua anak cucu Nabi Adam belaka. Bila kita asalnya dari Datuk yang sama, maknanya kita adalah 'worih-waroh' belaka. Sama-sama hidup menumpang atas muka bumi Allah. Saling kenal mengenal dan saling memerlukan antara sesama kita. Lantas apa perlunya permusuhan. Islam jangan diganggu gugat dan kita orang Islam memang tak ganggu orang lain.
Mari bersama kita hidup sejahtera di bawah naungan Islam. -HARAKAHDAILY 6/5/2017
Penulis ialah AJK PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan