PPV MINES International Exhibition & Convention Centre yang mula beroperasi 14 Jun lalu mampu mengendalikan proses suntikan sehingga 10,000 sehari.
KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin harian yang melepasi 250,000 suntikan bagi tiga hari berturut-turut adalah petanda positif kepada kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pakar kesihatan komuniti, pengurusan hospital dan kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ia menunjukkan kerajaan peka dengan suara rakyat dan mengambil maklum mengenai saranan pakar.
"Justeru tidak mustahil, sasaran imuniti kelompok berjaya dicapai sekiranya momentum pertambahan pemberian vaksin ini dapat dikekalkan.
"Pada masa sama, kerajaan perlu terus mendapatkan bekalan vaksin bagi memastikan negeri yang berada pada zon merah dan bekerperluan tinggi supaya mendorong ekonomi bangkit," katanya.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) antara indikator penting kepada fasa pemulihan dalam PPN yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sejumlah 268,604 dos diberikan kelmarin, sekali gus menyaksikan kadar pemberian vaksin mencatat lebih 250,000 dos untuk tiga hari berturut-turut.
a adakah rekod baharu jumlah suntikan dalam sehari yang berjaya dicapai.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata kadar penggunaan vaksin negara kini 90 peratus.
"Seratus vaksin sampai, 90 akan diguna dalam tempoh beberapa hari. 10 tu buffer sikit untuk janji temu akan datang," katanya.
Naib Presiden i-Medik, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, berkata kejayaan program vaksinasi ini juga adalah satu petanda baik untuk membantu mencapai sasaran PPN lebih awal.
Katanya, dua faktor yang menjadikan vaksinasi semakin diperhebatkan ialah kerajaan berjaya mendapat sebanyak mungkin bekalan dan orang ramai semakin yakin untuk mendaftar mendapatkan suntikan.
"Kini kesedaran mendaftar mendapatkan vaksin semakin baik. Penduduk di kampung juga sudah mempunyai kesedaran dan sudah memahami kepentingan vaksin," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, keupayaan kerajaan membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega juga antara faktor penyumbang kepada pertambahan individu divaksin.
"PPN yang dilaksanakan oleh kerajaan ini amat bertepatan dengan usaha meningkatkan pemberian vaksin dan diharap sasarannya dapat dipertingkatkan lagi dan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera," katanya. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan